Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semak semula keputusan mahkamah pulangkan pasport - Amanah
Diterbitkan:  Oct 25, 2021 1:51 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Keputusan mahkamah menyerahkan pasport beberapa pemimpin yang sedang menghadapi perbicaraan harus disemak semula, kata Pemuda Amanah.

"Meskipun perkara ini sesuatu yang dibenarkan dan di bawah kuasa mahkamah namun ia bakal menghakis kepercayaan awam terhadap ketegasan dalam menangani kes jenayah di kalangan orang-orang kenamaan,” kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Razak Ridzuan.

"Sama ada ia kebetulan atau tidak, penyerahan semula passport ini berlaku selepas perdana menteri bertukar daripada Muhyiddin Yassin kepada Ismail Sabri.”

Katanya, Pejabat Peguam Negara harus bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan mereka yang tertuduh berada dalam negara sehingga kes selesai dan dilayan sama seperti pihak lain.

Mahkamah membenarkan penyerahan semula pasport sementara atas tujuan perjalanan ke luar negara kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

"Melihat kepada alasan-alasan yang diberikan, semuanya bersifat peribadi dan tidaklah begitu terdesak berbanding dengan risiko yang mungkin boleh berlaku sepanjang ketiadaan mereka dalam negara,” katanya.

ADS