Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu saham Azam: Speaker tak boleh sekat sesi PSC jadi tertutup - Anwar
Diterbitkan:  Jan 17, 2022 11:22 PM
Dikemaskini: 3:22 PM

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun tidak seharusnya menyekat mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri untuk membincangkan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan speaker parlimen bahawa pendengaran sesi tersebut tidak dibuka kepada umum.

Tegas pengerusi PH itu, kes Azam Baki tidak boleh dijadikan sesi tertutup kerana melibatkan kepentingan awam.

"Pertamanya, isu ini wajar diberi perhatian dan ini suatu tuduhan terhadap KP SPRM, sepatutnya dia diberi ruang untuk memberi pembelaan atau penjelasan.

"Jadi tidak ada sebab mengapa hal ini dipersulitkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Presiden PKR di Kuah, Langkawi, hari ini.

Semalam, Azhar berkata mesyuarat PSC yang dijadualkan pada Rabu ini tidak akan dibuka kepada orang ramai berikutan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut Azhar, peraturan itu terpakai bagi semua prosiding PSC.

“Peraturan mesyuarat tidak membenarkan prosiding terbuka.

“Malah, peraturan mesyuarat juga tidak membenarkan perbincangan atau pendedahan saksi, kenyataan saksi dan kandungan prosiding sehingga laporan telah dibentangkan kepada Dewan Rakyat,” katanya, seperti dilaporkan The Star.

Dalam pada itu, Abdul Latiff Rahman (PAS-Kuala Krai) hari ini memaklumkan sidang PSC itu ditangguhkan susulan bantahan daripada Azam terhadap cara siasatan itu.

Azam berhujah hal ini kerana dia telah memfailkan saman fitnah dan perkara yang akan dibincangkan oleh PSC mungkin diterima oleh mahkamah.

Selain itu, Azam berhujah bahawa dia telah pun disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Aduan SPRM.

Bagaimanapun, kesemua empat ahli parlimen pembangkang dalam jawatankuasa PSC itu kemudian membantah keputusan Abdul Latiff untuk menunda mesyuarat PSC pada Rabu ini.

Sementara itu, Anwar mendakwa speaker tidak boleh diperalatkan tanpa menjelaskan pihak yang dimaksudkannya itu.

"Mula-mula speaker melarang pendedahan kepada media. Ini bidang kuasa speaker.

"Dia tidak boleh diperalatkan untuk menyekat perbicaraan meluas kerana ini merupakan hal kepentingan awam.

"Semua orang tahu, jadi macam mana dia nak jadikan isu ini tertutup? Saya akan bincang dengan pengerusi PSC untuk mengambil tindakan berikutnya," katanya.

Lihat Komen
ADS