Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan Pahang tuntut RM1 juta dari aktivis alam sekitar

Kerajaan Pahang mengemukakan notis tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi fitnah berjumlah RM1 juta terhadap Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil.

Notis melalui tetuan Hidayah Ishak & Partners memberi tempoh 14 hari bermula 8 Febuari untuk Shariffa membuat permohonan maaf terbuka berhubung dakwaan berkaitan kegiatan pembalakan di negeri itu.

Berdasarkan notis tuntutan yang dilihat Malaysiakini, Shariffa didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui tulisan di atas talian antara 29 Disember tahun lepas hingga 12 Januari tahun ini.

Menurut notis tuntutan tersebut, kenyataan-kenyataan itu membawa maksud kerajaan negeri: 

  • Tidak bertanggungjawab dengan membenarkan pembalakan di kawasan pergunungan Karak seolah-olah tanpa melakukan Environmental Impact Assessment (EIA).

  • Bersekongkol dengan Jabatan Perhutanan untuk mengeluarkan kenyataan berunsur penipuan bahawa kononnya tiada projek pembalakan di Hutan Simpan Lentang.

  • Melakukan pembalakan di Hutan Simpan Lentang tanpa rasa bersalah sehingga mengakibatkan malapetaka.

  • Terlibat dan merupakan punca kepada kegiatan pembalakan dan penerokaan secara haram di tanah kerajaan. 

  • Mengamalkan rasuah dengan membenarkan aktiviti pembalakan secara berleluasa kepada syarikat pembalakan di kawasan hutan di negeri Pahang.

Menurut surat tuntutan itu, kenyataan Shariffa menyebabkan masyarakat beranggapan bahawa kerajaan negeri menipu, tidak berintegriti dan tidak bertanggunjawab.

‘Saya akan lawan’

Sementara itu, Shariffa yang dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya sedia berdepan dengan kerajaan negeri itu di mahkamah.

"Ya, saya akan lawan mereka di mahkamah," katanya ringkas.

Lihat Komen
ADS