mk-logo
Berita
Mahkamah AS dengar butiran jualan rantai berlian AS$23 juta Rosmah
Diterbitkan:  Mar 24, 2022 1:09 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Tukang emas berprestij New York, Lorraine Schwartz memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat (AS) bahawa dia memperolehi perjanjian AS$23 juta untuk menjual kepada Rosmah Mansor seutas rantai berlian 22 karat.

Schwartz berkata demikian dalam kenyataannya yang dimasukkan sebagai rekod mahkamah oleh pendakwa dalam perbicaraan terhadap bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Bukti yang dikemukakan oleh Schwartz bercanggah dengan dakwaan Najib Razak pada 2018 bahawa berlian merah jambu itu adalah hadiah daripada Sheikh Mansour Zayed dari UAE.

Menurut Bloomberg, Schwartz dihubungi oleh Jho Low pada Jun 2013 untuk menhasilkan seutas "rantai berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati".

Laporan Bloomberg menyebut Rosmah "mahu" berlian 18 karat tetapi Schwartz hanya mempunyai berlian 22 karat. Bagaimanapun, perjanjian tetap dicapai.

Menurut kenyataan Schwartz, dia secara peribadi menghantar rantai itu kepada Rosmah di atas sebuah kapal layar, dengan kehadiran Jho Low, di luar pesisiran pantai Monaco.

Kenyataan Schwartz turut mendakwa Rosmah membeli barang kemas tambahan bernilai AS$1.3 juta daripada dirinya pada 2014.

Invois untuk barang kemas bernilai AS$23 juta telah dipamerkan kepada juri, tetapi bukan salinan sebenar.

Juri juga ditunjukkan kotak DVD filem The Wolf of Wall Street dan paparan skrin penghargaan yang ditujukan kepada Jho Low atas sokongannya.

Filem itu diterbitkan bersama oleh Riza Aziz - anak Rosmah hasil perkahwinan pertamanya.

Pada 2018, syarikat filem Riza, Red Granite mencapai penyelesaian dengan pihak berkuasa AS dengan melupuskan AS$60 juta.

Pendakwa raya sedang cuba membuktikan bahawa kedua-dua barangan tersebut iaitu rantai berlian dan filem berkenaan adalah hasil daripada penyelewengan AS$6.5 bilion dana 1MDB.

Roger Ng didakwa bersubahat dengan bekas bosnya Tim Leissner dalam mengatur bon bernilai AS$6.5 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB dalam tiga peringkat.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS