Anwar akan pertahan kerusi presiden PKR
Anwar Ibrahim akan mempertahankan kerusi presiden PKR yang disandangnya dalam pemilihan parti.
Perkara itu diumumkan oleh pejabatnya melalui kenyataan ringkas sebentar tadi.
“Beliau telah mengemukakan permohonan untuk bertanding menerusi aplikasi ADIL pada jam 12.14 tengah hari,” kata pejabat itu.
Setakat ini tidak ada pihak yang mengumumkan akan mencabarnya.
Kerusi tumpuan setakat ini hanya berlegar sekitar jawatan nombor dua yang dikatakan akan ditandingi oleh Naib Presiden Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution (bawah).

Pemilihan PKR pada Mei ini akan melibatkan kira-kira 1.2 juta anggotanya dengan pengundian dijalankan secara biasa dan atas talian.
Pemilihan itu adalah yang pertama selepas penjajaran semula parti politik melalui 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan jatuhnya PKR dan Pakatan Harapan (PH) daripada tampuk kekuasaan.






