‘Umno Selangor tak canggah pendapat dengan presiden’
Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menggesa barisan pimpinan dan penyokong parti supaya tidak membuat kenyataan melulu mengenai hubungan Umno Selangor dengan kepimpinan tertinggi parti itu.
Arman Azha Abu Hanifah, dalam sebuah video yang dimuat naik ke akaun media sosialnya, berkata isu Pengerusi Umno Selangor Noh Omar yang mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi tidak timbul.

Katanya, keyakinan itu bersarkan hakikat bahawa dirinya juga terbabit dalam perbincangan di peringkat mesyuarat MKT, selau ahli majlis, dan peringkat kepimpinan negeri sebagai ketua bahagian Umno Subang.
“Tidak ada isu mengatakan Umno Selangor bercanggah pendapat dengan presiden parti dan sebagainya.
“Ini sebahagian pandangan orang luar untuk mencipta keretakan dalam Umno dan BN di negeri Selangor... bagi saya Umno dan BN Selangor konsisten tentang apa saja pandangan dan keputusan yang akan dibuat oleh Umno dan BN di peringkat tertinggi,” katanya.

Noh berulang-kali dilaporkan sebagai berkata Umno Selangor akan mempertahankan pakatan Muafakat Nasional di negeri itu melalui kerjasama pilihan raya dengan PAS.
Kenyataannya itu dibuat ketika Zahid berkali-kali memberi isyarat bahawa PAS bukan lagi rakan kongsi yang boleh dipercayai.
Secara rasmi, pakatan Muafakat Nasional antara Umno dan PAS belum terkubur, namun beberapa pemimpin Umno percaya ia hanya wujud dalam nama selepas kedua-dua parti itu gagal bekerjasama semasa pilihan raya Melaka dan Johor.
Beberapa bahagian Umno negeri seperti di Terengganu telah menamatkan hubungan mereka dengan PAS.
Arman berkata landskap politik di Selangor sangat dinamik dan unik, justeru kepimpinan Umno negeri perlu dibenarkan meneroka pilihan mereka.

Dia menyifatkan Selangor sebagai kubu kuat Pakatan Harapan, sambil menambah menambah, kerjasama Umno dengan PAS di negeri itu tidak pernah goyah.
“Saya harap kepada semua barisan pimpinan dan penyokong jangan cepat melatah dengan cerita-cerita di luar yang cuba menciptakan keretakan di negeri Selangor.
“Kita secara konsisten meletakkan negeri Selangor jauh ke hadapan untuk memikirkan strategi dan rancangan untuk kita kembali mentadbir dan merampas kerajaan negeri PH untuk kembali kepada BN,” katanya.









