Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Anak kelahiran luar negara layak dapat kewarganegaraan jika bapa adalah rakyat Malaysia’

Hanya anak kepada bapa yang berwarganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara layak mendapat kewarganegaraan mengikut undang-undang, kata Mahkamah Rayuan.

Hakim Kamaludin Md Said menyatakan demikian dalam alasan penghakiman penuh bertulis keputusan majoriti Mahkamah Rayuan 2-1 Jumaat lalu yang menafikan kewarganegaraan kepada anak-anak kelahiran luar negara oleh ibu dan bapa warganegara Malaysia.

Menurut alasan penuh yang dikeluarkan hari ini, Kamaludin berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu terkhilaf apabila mentafsir perkataan 'bapa' dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan - dibaca bersama Jadual Kedua Perlembagaan - sebagai juga termasuk 'ibu'.

Perkara 14 memperkatakan tentang kewarganegaraan Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang (automatik), manakala Bahagian II Jadual Kedua adalah berkaitan dengan kewarganegaraan Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang orang yang dilahirkan pada atau selepas Hari Merdeka.

Peruntukan dalam Bahagian II Jadual Kedua menyebut mengenai kanak-kanak yang menjadi warganegara secara automatik termasuk mereka yang bapanya pada masa kelahiran itu ialah seorang warganegara dan juga telah lahir di dalam Persekutuan atau pada masa kelahiran itu berada dalam perkhidmatan di bawah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan sesuatu Negeri.

Dalam keputusan penting pada 9 Sept tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan bahawa ibu warga negara Malaysia mempunyai hak yang sama seperti bapa warga Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Kamaludin berpendapat bahawa hakim itu tersilap apabila dia mengabaikan keputusan majoriti 2021 dalam keputusan Mahkamah Persekutuan yang menafikan kewarganegaraan kepada seorang budak lelaki kepada bapa warga Malaysia dan ibu warga Filipina (rayuan ini dikenali sebagai kes CTEB).

Dalam kes CTEB, keputusan majoriti 4-3 memutuskan bahawa kerakyatan anak yang sah oleh bapa yang berwarga Malaysia dan ibu warga asing adalah akan mengikut bapa.

Keputusan itu selanjutnya menyatakan bahawa dalam situasi yang melibatkan anak luar nikah akan menyaksikan kewarganegaraan anak ditentukan mengikut kewarganegaraan ibu.

Kamaludin berhujah bahawa kes CTEB menyatkan bahawa Perkara 14(1)(b) dan Bahagian II Jadual Kedua mesti dibaca dalam konteks yang betul, iaitu dibaca secara keseluruhan dan diberi maksud yang jelas.

Hakim itu berkata dalam konteks ini, perkataan "bapa" dalam Seksyen 1 (b) Jadual Kedua adalah sangat jelas dan khusus merujuk kepada bapa sahaja dan tidak dimaksudkan untuk dibaca sebagai ibu dan bapa atau salah seorang daripada mereka.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS