Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah hari ini, menurut sumber dari gabungan itu.

Sumber itu, yang berada di Lembah Klang, memaklumkan perkara itu kepada Malaysiakini.

"Ya, saya boleh mengesahkan Seri Paduka Baginda menitahkan wakil GPS menghadapnya hari ini.

"Sebanyak lima wakil akan menghadap Tuanku," katanya yang tahu tentang perkara tersebut.

Dia berkata antara pemimpin yang akan menghadap Agong adalah Richard Riot dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Aaron Ago Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta Fadillah Yusof dan Alexander Nanta Linggi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Bagaimanapun dia berkata tiada maklumat mengenai seorang lagi wakil yang dititahkan untuk menghadap Agong.

Dalam PRU15, GPS menang 23 kerusi Parlimen dengan PBB meraih 14 kerusi, disusuli PRS (5), SUPP (2) dan Parti Demokratik Progresif (3).

Sehari selepas PRU, GPS menerusi pengerusinya Abang Johari Openg berkata bahawa mereka bersetuju untuk bergabung dengan BN dan PN untuk membentuk kerajaan persekutuan dengan Muhyiddin Yassin selaku calon perdana menteri.

Namun, GPS semalam dalam kenyataan terbaru berkata gabungan itu menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong untuk membuat keputusan mengenai calon yang sepatutnya dilantik menjadi perdana menteri.

Ia selepas kenyataan Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Tiong King Sing - salah satu parti komponen GPS - berkata gabungan itu yang mempunyai 22 kerusi parlimen akan menunggu penjajaran politik PN diselesaikan sebelum gabungan itu membuat keputusan.

"Katakanlah BN tidak bekerjasama dengan PN, PN tidak akan dapat membentuk kerajaan walaupun dengan sokongan GPS. Mereka ada masalah, kita biarkan mereka selesaikan dulu sesama sendiri," kata Tiong.

Sementara itu, sumber itu mendakwa walaupun keputusan terbaru GPS lebih terbuka dalam soal calon perdana menteri, gabungan itu masih tidak menarik balik surat sokongan kepada Muhyiddin yang dihantar ke istana.

"Surat sokongan masih tidak ditarik balik. Ini mungkin akan dibincang dalam GPS dalam masa terdekat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS