Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menafikan dia mengeluarkan arahan bagi menyekat pendakwah terkenal, Dr Ridhuan Tee Abdullah daripada muncul di rancangan televisyen terbitan Radio Television Malaysia (RTM).

Katanya, larangan ke atas Ridhuan daripada muncul di Forum Perdana Ehwal Islam tersebut bukan di bawah bidang kuasanya.

"Tidak", katanya yang dipetik oleh Bernama sambil menggelengkan kepala.

Rabu lalu, penceramah popular itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia digam oleh RTM.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Betullah tu," katanya ringkas.

Sebelum ini beredar tangkapan layar sebuah kumpulan Whatsapp yang menyebut Ridhuan sebagai memaklumkan perkembangan itu.

Tokoh Maulidur Rasul dan Maal Hijrah itu juga menzahirkan rasa sedih apabila rancangan bual bicara popular setiap Khamis itu turut dibatalkan kerana penampilannya.