Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buat lawatan mengejut, menteri nak kurangkan masa menunggu di HTAR

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa membuat kunjungan mengejut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor, malam tadi.

Berpakaian kasual dan berpelitup muka, dia duduk berbual dengan sejumlah pesakit yang sedang menunggu rawatan di jabatan kecemasan hospital berkenaan.

Kunjungan itu dibuat tanpa memaklumkan kepada pihak hospital terlebih dulu.

Menurut seorang pegawainya, Zaliha hadir untuk mendapatkan maklum balas mereka tentang perkhidmatan di situ terutama isu waktu menunggu yang lama di jabatan kecemasan.

Zaliha bukanlah menteri pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang melakukan kunjungan mengejut di kemudahan di bawah kementeriannya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut melakukan perkara yang sama di beberapa stesen LRT di ibu kota, untuk melihat perkhidmatan yang menurut pengguna di tahap menghampakan.

Menurut pegawai Zaliha, rata-rata pesakit mengadu kepada Zaliha mereka terpaksa menunggu lama sebelum mendapatkan rawatan.

Selain itu, katanya lagi, Zaliha juga mendengar cadangan dari petugas kesihatan di situ untuk penambahbaikan dalam beberapa aspek.

Maklum balas dari kedua-dua belah pihak telah dibawa dalam mesyuarat Kementerian Kesihatan untuk penambahbaikan, katanya lagi.

Inisiatif sedia ada di HTAR - antaranya penyediaan wad untuk pesakit yang hanya perlu dirawat di hospital selama beberapa hari (short stay ward) dan teknologi digital untuk pengurusan penggunaan katil serta komunikasi antara kakitangan hospital dan Klinik Kesihatan - turut dipertimbang untuk dilaksanakan di jabatan kecemasan hospital lain.

Lihat Komen
ADS