Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah memiliki kelayakan, kata bekas pemimpin PAS
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan tanpa gaji kepada perdana menteri adalah wajar berdasarkan kelayakan serta pengalamannya selaku bekas ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang negara (PAC).

Bekas pemimpin majlis syura ulama PAS, Khairuddin Aman Razali, berkata rakyat boleh menilai merit dan kelayakan bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu berdasarkan prestasinya di Parlimen dan juga latar belakang akademiknya.

Katanya, Nurul Izzah telah menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal sejak 2008 dan menjadi anggota PAC.

"Justeru, saya tidak melihat sebarang kewajaran bagi menidakkan hak beliau untuk dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.

"Apatah lagi apabila jawatan tersebut disandang tanpa gaji. Ia menidakkan konflik kepentingan kebendaan yang mahu dilimpahkan kepada Nurul Izzah sebagai anak perdana menteri.

"Sekiranya isu nepotisme dibangkitkan, ia menjadi cacat jika mereka yang ada hubungan keluarga dilantik tanpa merit dan kelayakan.

"Abu Bakar al-Siddiq radiyallahu anhu sentiasa diminta menggantikan Nabi SAW untuk menjadi imam solat umat Islam di Masjid Nabawi. Ia bukan kerana hubungan beliau sebagai bapa mertua Nabi tetapi kerana kelayakan ilmu dan kewarakan serta keimanan dan kesetiaan mempertahankan Nabi SAW," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Nurul Izzah mendedahkan pelantikannya bagi jawatan itu dalam satu wawancara oleh media tempatan.

Pendedahan Nurul Izzah itu mengundang pelbagai reaksi serta kritikan baik di pihak pembangkang mahupun wakil rakyat PKR sendiri.

Kelmarin, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempertahan pelantikan Nurul Izzah bagi membantu kerajaan termasuk memastikan segala proses pemberian kontrak dan tender dilakukan secara teratur

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata masyarakat khususnya umat Islam perlu mengambil teladan sirah Nabi Muhammad SAW yang telah melantik kaum keluarganya untuk memimpin kerana kelayakan dimiliki.

"Ali radiyallahu anhu dipilih oleh Rasulullah SAW mengetuai peperangan Khaibar memerangi Yahudi yang khianat bukan kerana kedudukannya sebagai menantu dan sepupu Rasulullah SAW. Tetapi kerana kelayakan jasad sebagai tentera Islam dan ilmu serta pengalaman perjuangan yang dimiliki oleh beliau.

"Usamah bin Zayd radiyallahu anhuma dilantik oleh Nabi saw senagai jeneral mengepalai tentera Islam menentang Rom pada usia muda 18 tahun bukan kerana kedudukannya sebagai anak kepada anak angkat yang disayangi oleh Rasulullah iaitu Zayd bin Harithah tetapi kerana kelayakan yang ada pada anak muda ini meskipun yang turut serta berperang ialah orang-orang lama Islam termasuk Umar bin al-Khattab sendiri," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS