Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada undang-undang halang orang rakam serbuan polis'
Diterbitkan:  Feb 4, 2023 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Tiada undang-undang yang melarang orang awam daripada merakam serbuan polis, menurut bekas ketua polis negara Musa Hassan.

Musa berkata demikian ketika mengulas penahanan tiga individu kerana membuat rakaman ketika perlu menyerbu persembahan muzik di sebuah kedai muzik di George Town, Pulau Pinang, pada 28 Januari lalu.

Seorang pemilik bersama kedai itu turut ditahan selama lebih 12 jam kerana tidak mempunyai lesen persembahan.

Menurut laporan Free Malaysia Today hari ini, Musa berkata polis seharusnya memberi penjelasan berkenaan serbuan itu dan penangkapan berkaitannya bagi amelawan sebarang tanggapan negatif awam.

"Tiada undang-undang melarang orang awam mengambil video pihak berkuasa menjalankan tugas. Bila tak ada undang-undang (melarang), buat apa nak tangkap.

“Kebebasan asasi manusia mengikut Perkara 5 Perlembagaan tidak boleh kita sekat kerana (perlembagaan) memberikan kebebasan kepada mereka melainkan ada undang-undang menyekatnya," katanya seperti dipetik.

Bekas presiden Majlis Peguam Salim Bashir sebelum ini menyuarakan perkara serupa, iaitu tiada undang-undang melarang orang awam daripada membuat rakaman ketika serbuan polis.

Dia juga berkata individu terbabit juga boleh memilih untuk memfailkan tindakan sivil terhadap polis.

'Ganggu tugas polis’

Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng sebelum ini menggesa peguam negara menjelaskan mengapa tiga individu ditahan kerana merakam serbuan itu, dan menyifatkannya sebagai menekan orang awam.

"Sekiranya orang awam tidak dibenarkan merakam, adalah lebih bagus agar kamera badan (body camera) dipasang ke atas pihak polis yang menjalankan tugas," katanya pada 31 Januari lalu.

Dia juga berkata perbuatan merakam yang dianggap "mengganggu tugas pihak berkuasa" pula sangat subjektif dari segi undang-undang.

Berhubung pemakaian kamera badan, Musa berkata dia pernah mencadangkan perkara itu kepada kerajaan dahulu.

"Sepatutnya pihak berkuasa termasuk polis menggunakan kamera badan semasa serbuan, itu patut dibuat, ambil video semasa bertugas. Sebab itu dulu saya pernah cadang pada kerajaan pasang kamera badan termasuk petugas kereta peronda,” katanya.

Namun, dia berkata ia tak dapat dilaksanakan ketika itu kerana kekurangan dana namun kerajaan hari ini tidak boleh lagi menangguhkan pelaksanaannya.

"Kalau untuk semua anggota tak boleh, beli sedikit dulu dan gunakan sepanjang serbuan dijalankan,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS