Jabatan Imigresen menegaskan pihak asing tidak berhak campur tangan dalam perkara yang menyentuh urusan kedaulatan dan undang-undang Malaysia.

Ini termasuk tangkapan dan penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI), kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud merujuk kepada serbuan terbaru ke atas sebuah petempatan di Nilai Spring, Negeri Sembilan, minggu lalu.

Dia merujuk kepada laporan Malaysiakini yang memetik dakwaan NGO Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta bahawa penempatan yang diserbu itu bukan "petempatan haram" kerana ia dibina di atas sebidang tanah persendirian yang dikaitkan dengan majikan yang mengupah sekumpulan pekerja Indonesia pada awalnya untuk aktiviti melombong pasir di kawasan berkenaan kira-kira sembilan tahun yang lalu.

Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah Imigresen

Migrant Care juga mempertikaikan kenyataan yang mendakwa bahawa tahanan itu merancang untuk tinggal secara tetap di Malaysia, sebaliknya menyatakan bahawa mereka telah memperoleh dokumen perjalanan sementara yang dikeluarkan oleh kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Dokumen yang dikenali sebagai "Sijil Perjalanan Laksana Pasport" (SPLP) itu didakwa dikeluarkan untuk perjalanan sehala ke Indonesia - sama seperti dokumen yang dikeluarkan oleh kedutaan di seluruh dunia ketika berurusan dengan kehilangan pasport.

Dalam satu kenyataan, hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata fakta yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak ialah mereka yang ditahan dalam operasi bersepadu itu adalah pendatang asing tanpa izin dan menafikan dakwaan kononnya mereka itu mempunyai dokumen yang sah.

“Jabatan Imigresen ingin menegaskan bahawa mana-mana pihak luar tiada hak mencampuri urusan kedaulatan dan undang-undang negara ini.

“Pengeluaran visa dan pas kepada warganegara asing untuk tinggal dan bekerja di negara ini, dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen sebagai pihak berkuasa. 

“Kedutaan asing tidak mempunyai kuasa mengeluarkan apa jua bentuk pas bagi membenarkan rakyat mereka menetap di Malaysia walaupun untuk tempoh sementara,” katanya.

Secara keseluruhan terdapat 67 tahanan - termasuk warga emas dan kanak-kanak - ditangkap semasa serbuan 1 Februari lalu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia mengecam serbuan itu kerana kanak-kanak seawal usia dua bulan turut ditempatkan dalam tahanan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pula menggesa pihak berkuasa melaksanakan program alternatif buat tahanan itu bagi memastikan anak-anak mereka selamat.

Tahanan itu mendakwa bahawa mereka adalah mangsa yang tidak dibayar gaji. Alasan mereka menubuhkan sebuah sekolah di petempatan itu adalah sebagai persediaan untuk anak-anak mereka apabila pulang ke Indonesia.

Berikutan penahanan itu, petempatan berkenaan dirobohkan dan warga asing itu mendakwa harta benda mereka turut hilang.