Seramai 61 daripada 67 pendatang tanpa izin warga Indonesia yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan di sebuah penempatan haram di Nilai Spring, dihantar pulang ke negara asal mereka hari ini.

Pengarah JIM negeri Kennith Tan Ai Kiang berkata mereka terdiri daripada tujuh lelaki, 18 perempuan, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan yang sebelum ini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng.

"Seorang kena tahan (OKT) dibebaskan kepada majikan kerana telah berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) JIM.

"Lima OKT lain didakwa di Mahkamah Seremban pada 16 Feb, dijatuhkan hukuman penjara antara lapan hingga 10 bulan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata perkara lain berhubung kes ini termasuk tindakan ke atas pemilik tanah masih dalam siasatan.

Media sebelum ini melaporkan JIM menahan 67 pendatang tanpa izin termasuk 36 kanak-kanak di sebuah penempatan haram warga asing yang terletak 1.2 kilometer di dalam hutan di Nilai Spring, Nilai pada 1 Feb.

- Bernama