Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan bahawa siasatan yang dijalankan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa adalah bermotifkan politik.

“(Siasatan) ia merupakan inisiatif berasaskan maklumat serta bukti-bukti yang diperolehi sendiri oleh suruhanjaya ini.

“Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

“Proses siasatan tersebut adalah bebas daripada sebarang campurtangan mana-mana pihak.

“Justeru itu, tohmahan yang mengatakan siasatan SPRM tersebut atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejas imej suruhanjaya ini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Siasatan ke atas program Jana Wibawa menyaksikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, 75, hari ini didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Empat pertuduhan salah guna kuasa, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduh Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu untuk mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 dan Ogos 20 2021.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama, menuduh ahli politik berusia 76 tahun itu menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin pada sidang medianya, selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta, mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara membuat keputusan untuk mendakwa dirinya lebih awal sedangkan dia belum memberi sebarang kenyataan kepada SPRM.

“Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. 

“Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang,” katanya.

Susulan itu, beberapa pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional (PN) tampil mendakwa pertuduhan terhadap Muhyiddin itu semata-mata berbentuk politik.

Antara mereka termasuk Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin juga bersependapat dan berkata pendakwaan berkenaan berbentuk politik. Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu pula menggesa pihak berkuasa agar tidak mengikut telunjuk kerajaan.

Muhyiddin adalah yang individu terbaru dalam siri pertuduhan yang dikenakan terhadap pemimpin Bersatu sejak pertengahan Februari.

Pada 21 Feb, bekas ketua penerangan parti itu, Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM6.96 juta pada 2022.

Beberapa pertuduhan turut dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Menurut SPRM, pertuduhan itu berkaitan dengan skim Jana Wibawa - projek rangsangan oleh pentadbiran Muhyiddin ketika itu sebagai sebahagian daripada usaha bantuan wabak Covid-19.