Ahli parlimen kanan Pakatan Harapan Hassan Abdul Karim mencadangkan supaya Menteri Sumber Manusia V Sivakumar bercuti sementara menunggu siasatan SPRM.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hassan berkata dia membuat cadangan itu selaku anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang bertugas sebagai badan pemantau SPRM.

“Saya berpendapat Sivakumar yang mendukung agenda Pakatan Harapan untuk membasmi rasuah di Malaysia wajar menunjukkan contoh teladan yang positif dengan sekurang-kurangnya bercuti dari tugas sebagai menteri sehingga agensi penyiasatan SPRM selesai menjalankan kerjanya untuk membongkar gejala rasuah yang nampaknya telah berakar umbi dan endemik di kementerian berkenaan.

Hassan Abdul Karim

“Yang Berhormat Menteri tentu lebih faham tentang prinsip collective responsibility dan ministerial responsibility di dalam fungsi kerja jemaah menteri atau kabinet kerajaan persekutuan. 

“Jangan tunggu Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan supaya menteri yang terpalit kementeriannya dengan rasuah supaya bercuti ataupun meletakkan jawatan,” kata Hassan, yang adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang, dalam satu kenyataan, hari ini.

JKMR dibentuk oleh Parlimen mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Terdapat lima ahli jawatankuasa - semua mereka adalah ahli parlimen - dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Hassan berkata walaupun Sivakumar bukan suspek mahupun tertuduh, hakikatnya bahawa pejabat dan rumahnya telah dikunjungi SPRM dan ini bukannya sesuatu yang molek bagi wajah anggota kabinet kerajaan hari ini.

“Saya percaya YB Sivakumar mempunyai jiwa yang besar dan punya conscience yang jernih dan mulia. Sebagai seorang ahli parlimen dan pemimpin politik yang berpengalaman adalah terhormat bagi Sivakumar mengambil tindakan yang tepat. 

“Saya tidak mendesak atau menyeru beliau meletakkan jawatan sekarang. Sekurang-kurangnya eloklah pada waktu ini beliau bercuti dahulu dari tugas sebagai seorang menteri,” kata Hassan.

Awal bulan ini, SPRM menahan beberapa pembantu Sivakumar atas dakwaan penyelewengan melibatkan kelulusan yang diberikan untuk permit pekerja asing.

Pada ketika ini, SPRM tidak menamakan Sivakumar sebagai suspek.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Sivakumar tidak perlu bercuti kerana dia belum didakwa di mahkamah.