Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GPS teguh sokong kerajaan perpaduan - Fadillah
Diterbitkan:  Apr 26, 2023 8:59 AM
Dikemaskini: 12:59 AM

Satu lagi sekutu pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tampil menyangkal dakwaan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Kali ini, giliran Gabungan Parti Sarawak (GPS) berbuat demikian dengan ketua whip parlimen gabungan itu, GPS, Fadillah Yusof  yang juga adalah timbalan perdana menteri,  berkata mereka tegas berdiri teguh dalam menyokong segala usaha kerajaan perpaduan untuk pemulihan ekonomi negara.

“Ini kerana Premier Sarawak  Abang Johari Openg sendiri beberapa kali menekankan bahawa apa yang kita mahukan ialah kerajaan yang stabil, kukuh yang akan meletakkan semula Malaysia ke landasan yang betul.

“Lebih-lebih lagi dalam memulihkan ekonomi negara serta memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan sudah tentu kekayaan negara, hanya selepas itu Malaysia akan kembali kepada landasan yang betul. 

Gambar Hiasan - Anwar bersama Zahid Hamidi dan Fadillah

“Jika kita terus berpolitik, kita akan ketinggalan jauh dari rantau Asean,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia.

Ditanya jika ada sebarang pergerakan atau usaha ketika ini untuk menggulingkan Anwar, Fadillah berkata, dia tidak mahu mengulas mengenainya.

.“Saya tidak tahu sama ada terdapat sebarang pergerakan atau tidak pada masa ini. Sebab itu saya tidak mahu mengulas sesuatu yang tidak boleh dipercayai. 

“Kenapa saya perlu mengulas sesuatu yang tidak boleh dipercayai,” katanya.

Isnin lalu, Presiden MCA Wee Ka Siong turut menafikan dakwaan bahawa ahli parlimen BN bekerjasama dengan PN merancang komplot baru untuk menggulingkan pentadbiran Anwar.

Gambar Hiasan - Anwar bersama Wee

Wee yang juga ahli parlimen Ayer Hitam berkata MCA tidak terbabit dalam sebarang percubaan menumbangkan pentadbiran negara hari ini dan menyifatkan laporan itu sebagai “mengarut dan tidak berasas.”

Sebelum ini, sebuah portal mendakwa terdapat khabar angin mengenai percubaan PN untuk meyakinkan beberapa ahli parlimen BN supaya meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK).

Menurut laporan itu, sekiranya ahli parlimen BN terbabit menang, mereka akan dapat membentuk kerajaan baru - dengan bantuan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Gambar Hiasan - Anwar bersama Abang Johari

Seterusnya, kata laporan itu lagi dengan pembentukan kerajaan baru, maka Pengerusi PN Muhyiddin Yassin akan menjadi perdana menteri sekali lagi.

Laporan itu juga mendakwa bahawa perancang menjangkakan Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin akan membiayai plot tersebut kerana akaun bank Bersatu sudah dibekukan.

Laporan portal berkenaan juga disangkal oleh Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal memberitahu Malaysiakini bahawa tiada perbincangan dalam Bersatu dan PN untuk menggulingkan perdana menteri seperti yang dilaporkan.

PN, katanya, memberi tumpuan kepada pilihan raya enam negeri yang akan datang - khususnya negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Gambar Hiasan - Anwar di Dewan Rakyat

Anwar kini mendapat sokongan 148 ahli di Dewan Rakyat manakala PN mempunyai baki 74 ahli parlimen.

Bagi menjatuhkan Anwar, PN perlu mendapatkan sokongan setiap ahli parlimen GPS, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, Muda, bebas dan sekurang-kurangnya tiga lagi ahli parlimen yang kini bersama BN.

Lihat Komen
ADS