Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda diminta pertimbang semula keputusan bertanding solo
Diterbitkan:  Jun 28, 2023 9:01 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin mahu Muda mempertimbangkan semula keputusan parti itu yang mengumumkan bahawa ia akan bertanding sendiri di semua enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

"Keputusan Muda perlu dihormati semua pimpinan namun saya harap Presiden Muda (Syed Saddiq Syed Abd Rahman) akan mempertimbangkan keputusan ini (bertanding solo) kerana ia sebahagian daripada parti yang mendokong kerajaan perpaduan (PH-BN).

"Sebab itu minta supaya pertimbangkan semula kerana (parti dalam) kerajaan perpaduan akan bertanding dalam PRN," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.

Shamsul Iskandar ditemui pemberita dalam program majlis penyerahan 50 lembu korban Parlimen Tambun sempena Aidiladha 2023 di Kompleks MAPIM Baitul Riduan, Manjoi, di Ipoh, semalam.

Pada 26 Jun lalu, Syed Saddiq dilaporkan mengumumkan partinya akan bertanding pada PRN yang sekali gus bermaksud Muda akan bertembung PH dan BN.

Katanya, Muda beranggapan dua blok politik sedia ada tidak mencukupi.

Oktober tahun lalu, Muda menyertai pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya umum ke-15 dan telah beberapa kali memohon menyertai PH.

Namun sehingga hari ini, difahamkan PH belum memberi sebarang maklum balas.

Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini berkata Muda tidak dijadikan sebagai parti komponen kepada pakatan pembangkang ketika itu kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Sebelum itu, parti berkenaan turut bekerjasama dengan DAP dan Amanah untuk pilihan raya negeri Johor 2022.

Ketika disoal, sama ada pergeseran dengan PH ada kaitan dengan rundingan peruntukan kerusi, Syed Saddiq menafikan perbincangan seumpama itu berlaku antara gabungan itu dan Muda.

“Sebab itu Muda membuat pendirian untuk fokus kepada politik baru.

“Tiada guna kita diberi kerusi, jawatan dalam kerajaan atau jawatan selepas pilihan raya negeri, tetapi kemudian perjuangan rakyat dilupakan,” tambah Syed Saddiq.

Lihat Komen
ADS