Paling Popular
Terkini

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong untuk prosiding keempat pengurusan wabak Covid-19 memandangkan namanya disebut dalam prosiding sebelum ini. 

Tidak mendedahkan butiran lanjut, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Chen Chaw Min turut dipanggil untuk prosiding itu.

“PAC memerlukan keterangan dan penjelasan daripada Wee memandangkan nama beliau disebut dalam prosiding sebelum ini dan untuk berlaku adil kepada beliau, PAC mendengar penjelasan Wee. 

“Tetapi saya tidak akan mendedahkan atas sebab apa memandangkan prosiding PAC tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. 

“Surat panggilan mesyuarat kepada saksi-sakti ini akan dikeluarkan hari ini, dan saya mohon supaya saksi-saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan terhadap isu ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. 

Mas Ermieyati Samsudin

Prosiding itu antaranya meneliti berkaitan kes vaksin luput tempoh hayat, peralatan ventilator tidak dapat digunakan dan lebihan personal protective equipment (PPE). 

Ia dijadualkan diadakan pada 21 September. 

Sementara itu, Mas Ermieyati turut mengemas kini berhubung beberapa prosiding lain, antaranya berkaitan projek kapal peronda generasi kedua LCS bagi tentera laut bawah Kementerian Pertahanan (Mindef). 

“PAC akan memanggil Kementerian Pertahanan pada 3 Oktober bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kemajuan projek pembinaan LCS bagi Jun sehingga Ogos 2023. 

“Sebelum ini, PAC telah mendengar perkembangan berhubung projek LCS bagi tempoh Okt 2022 hingga Mei 2023 pada 10 Jun lalu,” katanya. 

Pada setiap tiga bulan, PAC akan mendapat taklimat daripada Mindef berhubung kemajuan kapal tersebut. 

Boustead Naval Shipyard (BNS) sepatutnya menghantar satu daripada enam LCS pada 2019. Bagaimanapun, tiada satu pun yang dihantar sehingga kini.

Pada 2022, PAC mengeluarkan laporan pertamanya mengenai projek itu, memperincikan cara projek itu tidak menepati spesifikasi tentera laut dan mengalami lebihan kos.

Bagaimanapun, pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil jalan penyelesaian terhadap masalah itu dengan mengambil alih BNS dan mengurangkan bilangan LCS kepada lima.

BNS kini perlu melaporkan kemajuan projek itu kepada PAC setiap suku tahun.

Lihat Komen
ADS