Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mahu jawatankuasa khas yang menggubal peruntukan Undang-Undang Islam mengesyorkan kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan agar menaik-taraf Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Katanya, kali terakhir akta itu dipinda adalah pada tahun 1984 iaitu pindaan bagi menaikkan hukuman had denda maksimum daripada RM1,000 kepada RM5,000.

"Antara cadangan penting ialah untuk menaikkan had hukuman denda maksimum daripada RM5,000 kepada RM100,000.

"Setelah 40 tahun adalah tidak munasabah had denda masih kekal pada RM5,000 memandangkan status ekonomi dan pendapatan rakyat sudah jauh berubah," katanya pada hantaran di Facebook, hari ini.

Asyraf juga memberikan contoh kes yang melibatkan tuntutan nafkah sepencarian oleh wanita atau isteri kepada bekas suami yang bercerai atau ditinggalkan.

"Banyak kes suami lebih rela bayar denda RM5,000 daripada kena bayar nafkah atau tuntutan harta sepencarian yang berjumlah puluhan atau ratusan ribu kepada isteri.

"Ini contoh ketidakadilan kepada wanita lantaran kekangan perundangan seperti had bidang kuasa hukuman mahkamah syariah," katanya lagi.

Di bawah Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 1984 memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih lima ribu ringgit serta tidak melebihi enam kali sebatan atau apa-apa gabungan hukuman tersebut.

Perdebatan mengenai kuasa perundangan undang-undang syariah timbul susulan mahkamah tinggi membenarkan petisyen untuk membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibuat peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman.

Susulan kemenangan Nik Elin, pelbagai pihak memberikan reaksi agar undang-undang syariah dipinda oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Umno melalui timbalan presidennya, Mohamad Hasan turut meminta semua pihak berkaitan untuk meneliti cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasakan undang-undang Syariah.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar memberi jaminan kedudukan Mahkamah Syariah kekal utuh seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil beberapa langkah bagi memastikan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan diarah untuk segera mendapatkan alasan penghakiman kes tersebut untuk dikaji dan merangka perancangan selanjutnya.

Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel sembilan anggota Mahkamah Persekutuan berkata keputusan yang diputuskan tiada kena-mengena dengan kedudukan Islam ataupun Mahkamah Syariah di negara ini.

Katanya, ia adalah mengenai sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan terbabit mengikut batasan ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

“Sama ada Islam atau Mahkamah Syariah dipertahan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam kes ini,” katanya ketika membacakan penghakiman dalam kes itu.