Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Papagomo dakwa Anwar cuba campuri sistem kehakiman negara
Diterbitkan:  May 2, 2024 6:33 PM
Dikemaskini: 10:48 AM
8

Blogger yang condong kepada pembangkang, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau juga dikenali sebagai Papagomo mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasanya dengan mencampuri sistem kehakiman negara.

Katanya, dia terkejut selepas pihak pendakwaan memohon supaya tiada jaminan diberikan dan perintah larangan bersuara (gag order) terhadap defendan.

“Saya terkejut sebab saya dilabelkan dalam jenayah berat, sedangkan ini akta hasutan, di mana perdana menteri dan kerajaan yang ada hari ini berpuluh tahun melaungkan untuk hapuskan akta hasutan.

“Tapi hari ini kita dapat lihat dengan kuasa yang mereka ada, mereka, menggunakan kuasa itu untuk mengarahkan musuh musuh politiknya disenyapkan, didiamkan,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Peguambela, Rafique Rashid berkata, di sebalik permohonan pendakwaan, mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dan menolak permintaan perintah larangan bersuara.

Rafique seterusnya memberi peringatan kepada Anwar supaya mengelak daripada tidak menghormati pemisahan kuasa.

Merujuk kenyataan perdana menteri “penjahat-penjahat semua ini sepatutnya ganti bilik-bilik saya di (penjara) Sungai Buloh” semasa ucapannya pada sambutan Hari Pekerja di Putrajaya semalam, katanya, Anwar tidak sepatutnya mencampuri urusan mahkamah.

“Janganlah mencampuri urusan mahkamah, janganlah cuba mencampuri urusan kehakiman, janganlah cuba menjadi hakim kerana sistem kehakiman di Malaysia ini mudah kerana hakim-hakim dalam Malaysia ini tidak terlibat dengan politik.

“Hakim-hakim di Malaysia ini membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang undang.

“Jangan campur urusan mahkamah, jangan cuba campur dalam urusan kehakiman, jangan cuba jadi hakim kerana sistem kehakiman di Malaysia adalah lurus memandangkan hakim di Malaysia tidak terlibat dalam politik.

“Hakim di Malaysia membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya.

Papagomo didakwa atas pertuduhan menghasut bagi mendatangkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Ia berhubung hantarannya di media sosial berhubung isu stoking dengan kalimah Allah.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
8
ADS