Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Warisan desak SPRM bertindak susulan pendedahan terbaru
Diterbitkan:  Feb 4, 2025 10:53 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Dengan kemunculan dakwaan terbaru terhadap seorang anggota kerajaan negeri Sabah, Ketua Pemuda Warisan, Terence Au, menggesa SPRM untuk mengambil tindakan segera.

Ini susulan dakwaan pemberi maklumat semalam bahawa menantu Yang di-Pertua Sabah, Musa Aman, iaitu Mohd Arifin Mohd Arif, menawarkan penyelesaian bagi menutup mulutnya.

"Kes ini melibatkan pelbagai pihak, termasuk Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

"SPRM mesti menjalankan siasatan penuh, panggil Arifin untuk disoal siasat, dan mendedahkan sebarang urusan politik yang tersembunyi.

"Jika terbukti benar, kes ini bukan sekadar rasuah, tetapi penyalahgunaan kuasa yang serius dan memerlukan tindakan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, pemberi maklumat yang membuat pendedahan mengenai beberapa pemimpin Sabah sejak tahun lalu mendakwa bahawa Arifin, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, telah menawarkan satu penyelesaian buatnya.

Menurut dakwaan tersebut, penyelesaian yang ditawarkan termasuk pemulihan lesen penerokaan mineral yang telah dibatalkan dengan syarat dia mengeluarkan kenyataan umum bahawa dana yang bertukar tangan tersebut adalah sumbangan politik.

Pemberi maklumat itu juga berkongsi draf kenyataan media yang dikatakan telah disediakan untuknya, menyatakan bahawa dirinya membuat "sumbangan" serupa kepada Adun daripada Umno, Star dan PBS.

Malaysiakini telah menghubungi Hajiji, Arifin, dan Adun lain yang disebut dalam dakwaan itu untuk mendapatkan ulasan mereka

Sementara itu, Au mempersoalkan mengapa Arifin berunding bagi pihak kerajaan sedangkan pemulihan lesen penerokaan sepatutnya diputuskan oleh Lembaga Pengurusan Perlombongan Sabah.

"Penyertaannya mencadangkan kemungkinan campur tangan politik dalam keputusan pentadbiran," tambahnya.

Semalam, Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, mengecam cubaan untuk mengheret partinya dengan skandal rasuah di negeri itu.

Hajiji bersama Bung Moktar Radin

"Tindakan ini bukan sahaja tidak bermoral, malah cukup memalukan kerana pihak yang terlibat sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengarang skrip semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan mereka.

"Sehubungan itu, saya menuntut penjelasan daripada individu yang disebut dalam artikel tersebut, iaitu (menantu Tuan Yang Terutama Sabah Musa Aman) Arifin Mohd Arif, berkenaan dakwaan beliau terlibat dalam penyediaan skrip yang mengaitkan Adun Umno dalam isu ini,” katanya seperti dilaporkan semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS