Salah satu sayap Warisan hari ini mengingatkan seorang Adun Sabah agar lebih berhati-hati membuat kenyataan dan cepat berasa sudah terlepas daripada dakwaan skandal rasuah di negeri itu.

Menurut Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua, pada pandangannya penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu berkenaan memang "tidak masuk akal" malah pihaknya menolak sepenuhnya hujah tersebut.

Kata Norfaizah ada lima aspek yang diperhatikan bagi kes rasuah berkenaan untuk membuktikan wujud prima facie di dalamnya iaitu iaitu rakaman video, rekod perbualan melalui WhatsApp, dokumen, jejak wang dan saksi.

Tambahnya, kecuali rakaman video, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, tidak pernah menyatakan empat daripada lima aspek tersebut tidak berkredibiliti.

"Azam tidak pernah berkata bahawa pendakwa raya mengarahkan tiada tindakan lanjut (NFA) untuk tutup kes ini.

"Sebab itu saya ingin menasihatkan Yusof Yacob (Adun Sindumin) agar jangan gembira terlalu awal. Siasatan masih diteruskan dan pendakwa raya belum membuat sebarang keputusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Yusof dipetik media sebagai berkata, penjelasan diberikan SPRM mengenai siasatan kes rasuah di Sabah menunjukkan dia sudah dibersihkan daripada skandal tersebut.

Kenyataan tak tepat

Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan menegaskan, sebelum ini dia menyerahkan isu tersebut kepada SPRM dan pengumuman dibuat Azam beberapa hari lalu membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya sekadar tohmahan.

"Jadi tidak ada isu lagi, kita buat kerja macam biasa. Saya tidak mahu bincang lagi, kita mahu kerja, kita mahu tutup kes itu,” katanya seperti dipetik Sinar Online.

Yusof berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azam yang dibuat pada 16 Feb lalu yang memberitahu klip video didakwa menjadi bukti wujud amalan rasuah dalam kalangan ahli politik tertentu di Sabah tidak dapat dijadikan bahan bukti.

Hal itu kerana, kata Azam, siasatan unit forensi SPRM menunjukkan ia sudah disunting.

"Laporannya baru-baru ini menunjukkan lapan video di dalam portal itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana berlaku editing serta ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti," katanya.

Yusof Yacob

Norfaizah berkata kenyataan dibuat Yusof semalam adalah tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.

Justeru, katanya, Warisan meminta agar dia tidak "buat pandai" dengan bertindak seolah-olah dia adalah ketua SPRM dan boleh membuat ketetapan sendiri.

"Saya juga ingin memberi sedikit nasihat kepada Azam.

"Seluruh rakyat Malaysia terutamanya di Sabah sentiasa memantau dan memerhati perkembangan siasatan SPRM berhubung kes skandal rasuah ini.

"Sila jalankan tugas dengan cekap, jujur dan penuh amanah. Jangan sesekali mengecewakan rakyat Malaysia," katanya.