Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menara KL akan dibuka semula dalam masa terdekat

Menteri Komunikasi,Fahmi Fadzil berkata kerajaan masih belum menerima maklumat terkini secara rasmi pengurusan baharu Menara Kuala Lumpur mengenai pembukaan semula pusat pelancongan itu.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan berkata pihaknya akan memastikan Menara KL itu dapat dibuka dan beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat.

“Saya belum terima maklumat terkini secara rasmi dari pengurusan dan permintaan saya kepada pihak pengurusan Kementerian Komunikasi adalah untuk pastikan bahawa Menara KL dapat dibuka semula pada keadaan segera.

“Ada beberapa aspek yang kita perlu tahu bahawa operasi pemancar telekomunikasi di atas menara itu terus berfungsi dengan baik.

“Tapi kita harap dalam tempoh yang terdekat ia akan dibuka semula,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di kementerian komunikasi, Putrajaya hari ini.

Fahmi juga berkata orang ramai juga perlu memahami bahawa menara itu kini sedang ditambah baik dan diselenggara bagi memastikan aspek keselesaan dan keselamatan pengunjung diatasi segera.

“Menara KL merupakan struktur penting negara dan dikategorikan sebagai kawasan sensitif kerana menempatkan menara pemancar yang terus berfungsi dengan baik,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi menegaskan aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung akan menjadi keutamaan kerajaan sebelum pembukaan semula dilaksanakan.

“Kita harap beberapa perkara yang telah dimaklumkan sebelum ini untuk ditambah baik dan diselenggara dapat diselesaikan segera agar orang ramai dapat kembali menikmati keunikan Menara Kuala Lumpur dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya.

Terdahulu, Menara Kuala Lumpur ditutup sementara bagi tujuan penyelenggaraan serta penilaian keselamatan struktur manakala tarikh rasmi pembukaan semula akan diumumkan sebaik kerja-kerja berkaitan selesai dan diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Menara Kuala Lumpur merupakan antara ikon pelancongan utama ibu negara yang menerima kehadiran ribuan pengunjung setiap tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS