Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amaran keluar BN: Pemimpin Umno, MIC berperang di media sosial 
Diterbitkan:  Jul 31, 2025 11:42 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan terlibat dalam pertikaian sengit di Facebook hari ini berikutan ancaman Saravanan untuk membawa keluar parti itu dari BN.  

Ketegangan tercetus apabila Puad mengejek anggota parlimen Tapah berhubung kenyataan Saravanan bahawa MIC telah "ditipu" untuk menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.  

Menurut bekas menteri sumber manusia itu, MIC diberitahu Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi bahawa mereka akan mendapat kerusi kabinet jika menyokong Anwar.  

“Kalau sudah tahu ditipu kenapa tidak lari. Kenapa terus hulur tengkuk? Itu membuktikan Saravanan sebenarnya mengugut. Nampak garang tetapi penakut.

“Kenapa takut. Kerana MIC hanya ada satu MP. Tidak cukup kuat untuk lari atau tarik sokongan. Dia takut, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran,” tulis Puad.

Dia menasihati MIC kekal dalam BN.

“Mengugut dengan bargaining power (kuasa rundingan) yang lemah tidak berkesan. Satu kerusi Tapah tidak cukup kuat untuk MIC,” katanya.

Dalam masa sejam, Saravanan membalas di ruang komen Puad dengan menyindirnya "baru bangun tidur", empat hari selepas isu timbul, sedangkan Zahid sendiri sudah memberi respons.  

“Kami fikir ada siapa peduli dengan komen kamu? Hanya tentera siber kamu yang sokong kamu. Cuba tengok bahasa dia orang.

“Kamu tak sedar ke parti kamu pun orang Melayu tolak. Semua kawasan Melayu PN menang,” katanya,

Saravanan memberi amaran implikasi kepada Umno jika MIC dan MCA keluar BN.

"Jom tengok daripada 26 (kerusi) sekarang berapa banyak parti kamu boleh menang,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS