Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan mengumumkan kadar tarif perdagangan baru untuk Malaysia esok, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dia memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa keputusan itu dibuat selepas perbincangan telefon dengan Trump pada pukul enam pagi tadi.
“Setelah perbincangan itu berlaku dan beberapa penjelasan saya sampaikan, beliau memutuskan untuk menangguh pengumuman keesokannya.
“Dan kadar tarif akan diumumkan esok dan kita doa insya-Allah ia akan membantu dan tidak membebankan ekonomi negara kita,” katanya.

Dia berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13.
Semalam, Reuters melaporkan Trump sebagai berkata dia tidak akan melanjutkan tempoh untuk tarif berkuat kuasa, yang juga akan dilaksanakan esok.
Pada 8 Julai lalu, AS mengumumkan tarif rata 25 peratus ke atas semua produk Malaysia, yang akan dilaksanakan secara berasingan daripada tarif sektor sedia ada dan satu peratus lebih tinggi daripada kadar yang diumumkan pada April.
Mengulas langkah Trump, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengakui perundingan tarif dengan AS kompleks dan memerlukan pengorbanan tertentu.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Trump telah mengesahkan kehadirannya di sidang kemuncak Asean di Kuala Lumpur pada Oktober nanti.
