Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan dakwaan rasuah melibatkan bekas Setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua pesuruhjayanya Azam Baki meminta agar pihaknya diberi ruang untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul kenyataan dan bukti berkaitan dakwaan tersebut.
Tei, yang menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineralnya, semalam mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul selepas diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Shamsul meletakkan jawatan tidak lama selepas Malaysiakini meminta komennya berkaitan dakwaan itu tetapi mendakwa terdapat percubaan menyerangnya untuk merosakkan imej kerajaan.

Dalam kenyataan sebentar tadi, Azam juga berkata mereka akan segera menyiasat dakwaan ahli perniagaan Albert Tei memberi rasuah kepada Shamsul.
“SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
“Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata SPRM bebas menyiasat sebarang dakwaan yang timbul berkaitan bekas pegawai kanannya itu.

