Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA MP | Pastikan ombudsman bukan sekadar Biro Pengaduan Awam
Diterbitkan:  Dec 10, 2025 11:52 AM
Dikemaskini: 4:23 AM

Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengenai hasrat kerajaan untuk menubuhkan ombudsman sebagai sebahagian usaha memperkukuh tatakelola negara.

Namun saya tegaskan bahawa ombudsman itu mestilah benar-benar diberi kuasa untuk berfungsi dengan betul, dan bukan sekadar penjenamaan semula Biro Pengaduan Awam (PCB).

Saya mula bercakap mengenai keperluan penubuhan ombudsman sejak awal 2017 lagi. Ketika itu tiada sambutan dan kefahaman mengenai konsep ombudsman juga masih kurang.

Saya konsisten menyuarakan bahawa Malaysia memerlukan sebuah ombudsman yang benar-benar bebas, dengan lima ciri-ciri utama berikut:

  1. Dilantik oleh, dan bertanggungjawab kepada parlimen, bukan eksekutif;

  2. Mempunyai kuasa siasatan penuh ke atas semua agensi kerajaan;

  3. Mempunyai kuasa untuk bertindak, bukan sekadar nasihat;
    Berperanan sebagai pelindung pemberi maklumat (whistleblower);

  4. Semua laporan dibentangkan kepada umum secara telus.

Sebagai perbandingan, Sweden mempunyai model ombudsman tertua di dunia. Dan di negara itu ombudsman boleh menyiasat sesiapa sahaja termasuk menteri dan penjawat awam tertinggi. Ia malah boleh mencadangkan pendakwaan.

Di New Zealand, ombudsman berkuasa memaksa agensi membuka dokumen kerajaan.

Di United Kingdom, ombudsman boleh mengarahkan pembetulan kes dan pampasan kepada rakyat.

Di Australia, banyak skandal pentadbiran dibongkar hasil siasatan ombudsman yang bebas.

Semua negara ini berkongsi satu prinsip penting, iaitu ombudsman mereka bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan kepada Perdana Menteri.

Jika ombudsman Malaysia diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri, masih bergantung kepada kebenaran menteri, tidak mempunyai kuasa untuk bertindak, atau cadangannya boleh diabaikan tanpa akibat, maka ia tidak layak dipanggil ombudsman. 

Sebaliknya ia hanya menjadi jenama baru Biro Pengaduan Awam sahaja.

Rakyat tidak perlukan satu lagi pusat aduan yang tidak berkuasa. Rakyat perlukan sebuah institusi yang boleh dipercayai dan diyakini untuk menyelesaikan masalah dan aduan.

Saya menggesa kerajaan supaya:

  • Membuat satu kenyataan menteri untuk menerangkan cadangan ini lebih lanjut di Parlimen apabila sesi baru Dewan Rakyat bermula Januari nanti, dan benarkan perbahasan.

  • Merujuk RUU ombudsman kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen sebelum dibaca di Dewan Rakyat.

Memberi jaminan bahawa ombudsman yang bakal ditubuhkan akan bebas sepenuhnya daripada kawalan eksekutif.


WAN SAIFUL WAN JAN adalah anggota parlimen Tasek Gelugor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS