Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaliha ketengah kejayaan basmi kartel bazar, miskin tegar
Diterbitkan:  Dec 16, 2025 6:43 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Selepas dua tahun menerajui Jabatan Wilayah Persekutuan, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaliha Mustafa mengetengahkan pelbagai “isu legasi berlarutan” yang ditanganinya.

Katanya, ia termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro.

Selain itu, anggota parlimen Sekijang berkata, pihaknya juga berjaya “menoktahkan miskin tegar”, sekali gus membuktikan bahawa pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data mampu membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat.

“Di Wilayah Persekutuan Labuan, fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus digerakkan melalui inisiatif pelancongan dan kebolehhubungan, termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Zaliha antara dua menteri yang digugurkan susulan rombakan barisan jemaah menteri yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini.

Posisinya itu diganti dengan Hannah Yeoh yang sebelum ini menyandang menteri belia dan sukan.

Zaliha berkata dia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan yang telah diberikan kepadanya untuk menggalas amanah sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah).

‘Selamat maju jaya’

Dia turut mengucapkan tahniah kepada Hannah yang dilantik menggantikannya.

“Saya percaya setiap keputusan yang diambil perdana menteri dibuat dengan penuh pertimbangan, berlandaskan kepentingan negara serta keperluan untuk memastikan pentadbiran Kerajaan Madani terus stabil, berfungsi dan fokus kepada agenda reformasi yang digariskan.

“Saya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh barisan jemaah menteri yang baharu dilantik.

“Sebagai anggota Kerajaan Madani, saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada agenda Madani serta dasar-dasar reformasi yang sedang dan akan dilaksanakan demi negara dan rakyat,” katanya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja jabatan itu.

Sebelum diberi tanggungjawab di Jabatan Wilayah Persekutuan, Zaliha mencatat rekod sebagai menteri kesihatan wanita pertama yang dilantik bermula Dis 2022 hingga Dis 2023.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS