Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno anjur konvensyen, bincang kekal atau keluar dari kerajaan
Diterbitkan:  Dec 28, 2025 6:08 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Pemuda Umno akan mengadakan konvensyen khas bagi membincangkan persoalan sama ada parti itu perlu kekal atau keluar daripada kerajaan Madani.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata konvensyen tersebut akan diadakan pada 3 Januari ini di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) — dua minggu sebelum Perhimpunan Agung Umno 2024 yang ditangguhkan ekoran PRN Sabah.

Dalam video di Facebook, Akmal berkata keputusan untuk mengadakan konvensyen khas itu dibuat sebagai reaksi terhadap kegagalan Anggota Parlimen Puchong daripada DAP, Yeo Bee Yin, untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Saya minta kepada semua yang berani, yang nak suarakan hasrat dan isi hati, daripada orang yang sayangkan Umno, orang Melayu yang sayangkan perjuangan Umno ini, untuk datang.

“Biar kita nyatakan hasrat dan isi hati kita, agar apa yang akan diperkatakan dalam konvensyen ini dibawa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan kita serahkan kepada presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi),” kata Akmal. 

Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung tahanan rumah untuk bekas perdana menteri Najib Razak sebagai tidak sah.

Yeo dalam hantaran di Facebook menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang wajar diraikan, dan mencetuskan kecaman keras bukan sahaja daripada Umno, malah juga sejumlah pemimpin PKR dan DAP.

Pemuda Umno Selangor kemudian menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai Yeo di pusat khidmatnya, menuntut agar dia memohon maaf dan menurunkan hantaran tersebut dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pemuda Umno Puchong, Khairul Azmil Bashir Mohamed berkata kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pihaknya memutuskan hubungan dengan Pemuda DAP Puchong.

Semalam, Umno Puchong mengotakan kata-kata itu dengan menamatkan kerjasama dengan PH Puchong.

Cadangan untuk keluar daripada kerajaan turut dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut mengecam Yeo, Asyraf berkata mungkin sudah tiba masanya untuk Umno “memperhalusi kembali kerjasama” dengan sekutunya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS