Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM terima kunjungan panglima baru, tegaskan tiada kompromi rasuah
Diterbitkan:  Jan 29, 2026 4:11 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara perlu diperkukuh melalui tahap profesionalisme, akauntabiliti, dan integriti yang tinggi dalam setiap lapisan operasi.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Panglima Tentera Darat yang baru, Azhan Md Othman, bagi membincangkan peranan strategik pasukan itu sebagai benteng pertahanan negara.

"Saya menegaskan bahawa kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara ini tidak boleh dibina dengan slogan semata-mata, sebaliknya mesti diperkukuh melalui profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas serta konsisten dalam setiap lapisan pentadbiran dan operasi," kata Anwar menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar turut menyentuh mengenai cabaran semasa termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh menjejaskan imej institusi pertahanan tersebut. 

Dia memberi amaran bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran amanah.

Tegasnya, ketelusan dan keberanian diperlukan untuk membersihkan segala kelemahan demi memelihara maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kerajaan Madani akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani, di samping memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS