Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Bersatu N Sembilan hantar memo pada Muhyiddin, gesa pecat Hamzah

Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin terus menerima tekanan apabila tujuh daripada sembilan pemimpin bahagian Bersatu Negeri Sembilan mendesak supaya Ahli Parlimen Larut itu dipecat.

Gesaan itu disuarakan dalam satu memorandum bertarikh 5 Februari yang dihantar kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Memorandum itu diketuai Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker yang juga Ketua Bahagian Bersatu Rasah.

Turut bersama menyokong gesaan itu adalah Timbalan Ketua Bersatu Negeri Sembilan yang juga Ketua Bahagian Tampin; ketua Bahagian Jelebu; ketua Bahagian Jempol; ketua Bahagian Kuala Pilah; ketua Bahagian Rembau dan ketua Bahagian Seremban.

Melalui memorandum yang dilihat Malaysiakini, kesemua mereka menyatakan hilang kepercayaan kepada Hamzah, yang didakwa mereka sebagai dalang yang cuba menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin selain cuba menimbulkan perpecahan dalam Bersatu.

"Kami dengan ini secara rasmi menyatakan bahawa kami telah hilang kepercayaan sepenuhnya terhadap kepimpinan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin dan menuntut beliau berundur serta merta daripada jawatan tersebut," kata mereka dalam memorandum berkenaan.

Difahamkan memorandum berkenaan telah pun diterima Muhyiddin.

Pergolakan dalaman Bersatu dilihat semakin memuncak apabila penyokong Muhyiddin kian rancak mendesak Hamzah disingkirkan, manakala sekutu Hamzah sedang menggembleng tenaga untuk mempertahankannya. 

Desakan agar Hamzah dipecat sebelum ini telah disuarakan beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, dengan lembaga disiplin telah sekali lagi memanggil bekas Menteri Dalam Negeri tersebut. 

Dua ahli MPT Bersatu, Mohd Yazid Mohd Yunus dan Jasri Jamaludin malah mendesak Hamzah agar secara terbuka menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin selaku presiden.

Sementara itu, pemimpin Bersatu yang digantung keahlian, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencabar musuh-musuh Hamzah untuk bertindak.

“Tak perlu berdrama lagi dalam media dengan hantar barua dan budak suruhan. Jadi anak jantan sebenar. Tiga tahun lamanya bacul kamu menunggu nak pecat Hamzah.

“Nak pecat, pecat betul-betul. Jangan baling batu sembunyi tangan macam pondan!” katanya.

Sementara itu, memorandum berkenaan turut menggesa supaya lembaga disiplin parti itu segera menyiasat Hamzah terhadap beberapa pertuduhan yang dikaitkan terhadapnya.

"Sehubungan itu kami mendesak MPT untuk mengambil tindakan disiplin paling tegas, termasuk pemecatan Hamzah Bersatu," menurutnya.

Hamzah sekian lama dituduh menyokong kem anti-Muhyiddin walaupun timbalan presiden Bersatu itu sering menunjukkan kesetiaan secara terbuka kepada presiden parti. 

Hamzah juga setakat ini belum menjawab secara terbuka dakwaan menyokong pimpinan serta gerakan dalaman yang membawa kepada pemecatan dan penggantungan ahli Parlimen serta ketua bahagian parti itu.

Dalam pada itu, pengkritik Muhyiddin mahu menyingkirkannya atas kebimbangan parti akan kehilangan sokongan rakyat tanpa kepimpinan baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS