Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita trauma lelaki tak dikenali ajak kahwin, siap tempah majlis

Seorang wanita mendakwa berdepan pengalaman menakutkan apabila seorang lelaki yang tidak dikenali mengajaknya berkahwin serta membuat pelbagai persiapan perkahwinan tanpa persetujuannya, termasuk menempah cincin, plat hantaran dan kad jemputan.

Menurut Rozzanne, 24, kejadian bermula apabila lelaki itu membalas Instagram Stories miliknya pada 22 Jun 2025.

Namun katanya, mesej tersebut tidak diendahkan kerana dia menganggapnya sekadar reaksi biasa daripada pengikut media sosial.

"Saya tak pernah buka mesej dia dan pada awalnya saya rasa dia cuma suka balas story orang,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, lelaki itu kemudian menghantar mesej panjang pada 18 Julai 2025 yang menyatakan hasrat untuk berkahwin dengannya.

Dalam mesej berkenaan, lelaki itu meluahkan perasaan cinta serta menyatakan niat untuk bernikah.

Lelaki itu turut mendakwa telah menyediakan cincin daripada Poh Kong dan Habib, selain memaklumkan mempunyai RM10,000 untuk hantaran dan RM1,500 untuk mas kahwin.

“Dia memperkenalkan diri dan memberitahu dia telah membuat plat hantaran sebagai tanda tekad untuk bernikah dengan saya,” kata Rozzanne.

Rozzanne berkata dia mula berasa risau apabila membaca mesej tersebut, namun pada awalnya tidak menganggapnya serius.

Menurutnya, perasaan tidak selesa mula timbul apabila lelaki itu kerap menghantar mesej berkaitan persiapan perkahwinan mereka.

Situasi memuncak apabila dia mendakwa lelaki itu bertanya sama ada dia menaiki sebuah Myvi berwarna biru di Lotus’s pada 31 Julai 2025.

“Dia beritahu dia cuba mengejar kereta itu tapi tak berjaya,” katanya.

Rozzanne berkata dia mula berasa takut kerana situasi itu memberi gambaran lelaki tersebut cuba mengekori pergerakannya walaupun tidak pasti identitinya.

Dia kemudian bertindak menyekat semua akaun media sosial lelaki itu.

Rozzanne berkata selepas itu hidupnya kembali tenang sehinggalah pada 1 Jan lalu apabila seorang pembantu pengantin menghubunginya dan memaklumkan lelaki tersebut telah menempah khidmatnya untuk majlis mereka pada 12 Februari 2026.

Katanya, dia tergamam dan bimbang lelaki itu akan muncul semula dengan tindakan lebih melampau.

Rozzanne kemudian menyahsekat akaun lelaki itu untuk mendapatkan kepastian.

Dia mendakwa menemui pelbagai hantaran yang membuatkannya trauma, termasuk dakwaan mereka sudah bernikah di masjid, plat hantaran berukirkan nama mereka, gambar yang diedit menggunakan kecerdasan buatan (AI) seolah-olah mereka pasangan suami isteri, tempahan kad kahwin dan masjid untuk akad nikah, cetakan gambarnya yang ditampal di dinding, serta usaha menghubungi universiti bagi mendapatkan maklumat peribadinya.

“Saya menangis selepas tengok semua perkara itu,” katanya.

Rozzanne kemudian menyekat semula akaun lelaki itu selepas dia cuba menghubungi adiknya mengenai perkahwinan mereka.

Tambahnya, beberapa maklumat peribadinya yang diketahui lelaki itu dipercayai diperoleh daripada perkongsiannya di Instagram.

Sehubungan itu, dia menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan di media sosial, termasuk lokasi semasa, nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat rumah kerana boleh mengundang risiko keselamatan.

Sementara itu, Saiful ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia mengenali wanita itu selepas terserempak secara tidak sengaja di Nilai. Katanya, dia bukan lelaki jahat dan niatnya hanyalah untuk berkahwin secara baik.

Menurutnya, perasaan itu hadir seperti cinta pandang pertama dan dia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan wanita itu isterinya, namun mendakwa usahanya disalahertikan.

“Saya tak tahu usaha apa lagi untuk dia jadi isteri saya. Saya dah usaha sehabis daya,” katanya.

Berdasarkan hantaran di aplikasi Threads, pernikahan yang dirancang lelaki itu pada 12 Februari di Masjid Ar Rayyan, Bandar Cassia, dibatalkan kerana wanita itu didakwa tidak menghadirkan diri.

Setakat ini, tiada laporan rasmi polis dibuat oleh mana-mana pihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS