Saya mengambil maklum perkembangan terkini yang menyaksikan pembubaran 11 bahagian Bersatu di Johor termasuk bahagian Johor Bahru susulan kemelut dalaman yang berpanjangan. Perkembangan ini harus dijadikan iktibar bahawa kekuatan politik orang Melayu tidak boleh dibina atas perpecahan, sebaliknya mesti diasaskan atas kesatuan dan kestabilan.
Sejarah membuktikan bahawa Umno merupakan wadah asal perjuangan bangsa Melayu di mana tempat lahirnya kepimpinan, dasar dan hala tuju negara sejak sebelum dan selepas merdeka. Di sinilah asas kekuatan politik Melayu dibentuk dan diperkukuhkan.
Sehubungan itu, saya menyeru serta menjemput seluruh ahli Bersatu yang terlibat untuk kembali kepada akar perjuangan, kembali ke wadah asal, dan bersama-sama memperkukuh kesatuan politik Melayu melalui Umno. Ketika landskap politik semakin mencabar, kita tidak mampu terus berpecah dalam kelompok kecil yang melemahkan suara dan pengaruh kita.
Seruan ini selari dengan gagasan “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, satu agenda besar untuk menyatukan semula kekuatan Melayu di bawah satu payung yang stabil, matang dan diyakini rakyat.
Dalam konteks Johor, kestabilan politik hari ini membolehkan negeri terus melangkah ke hadapan di bawah kepimpinan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi. Kepimpinan beliau yang tegas, berwawasan dan berorientasikan hasil telah memastikan Johor terus mencatat prestasi memberangsangkan dalam pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan, pengurusan fiskal negeri serta peningkatan keyakinan pelabur.
Justeru, marilah bertaut kembali kepada Umno dengan semangat perpaduan, keikhlasan dan kesetiaan kepada perjuangan sebenar. Ketepikan perbezaan kecil, tolak politik perpecahan, dan utamakan agenda pembangunan negeri yang lebih besar.
Inilah masanya untuk kembali kepada asas perjuangan: memperkukuh kesatuan Melayu, memelihara kestabilan Johor, dan membina masa depan negeri yang lebih makmur serta berdaya saing di bawah kepimpinan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang terbukti dan diyakini.
YAHYA JAAFAR adalah ketua Umno bahagian Johor Bahru.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
