Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Dalam Negeri China, Chen Yixin yang antaranya membincangkan pengukuhan kerjasama keselamatan dan hubungan bilateral kedua-dua negara.
Pertemuan tersebut menyentuh perihal situasi geopolitik semasa dunia yang menuntut kerjasama erat bagi memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini terus terpelihara.
Anwar berkata, kehadiran tokoh kepimpinan tinggi dari kerajaan China itu merupakan suatu perkara yang sangat dihargainya dan seluruh jentera kerajaan.
"Perbincangan kami terarah kepada perihal hubungan bilateral dari sisi kerjasama keselamatan dua negara, situasi geo-politik semasa dunia yang menuntut kerjasama erat dua negara sahabat dalam memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini terus utuh.

"Mendepani cabaran masa hadapan, kedua-dua negara bertekad memperkasa hubungan diplomatik serta kerjasama keselamatan agar kemakmuran yang dikecapi dari aspek sosial dan ekonomi yang dinikmati rakyat kedua negara sentiasa terpelihara," katanya,
Lawatan Chen ke Malaysia merupakan kunjungan pertamanya ke Malaysia pada tahun ini.
Dalam makluman di media sosial sebentar tadi, Anwar turut menyatakan harapan agar kemajuan yang dicapai bersama oleh Malaysia dan China dalam pelbagai aspek akan terus menjadi dorongan untuk memacu hubungan akrab antara kedua-dua negara.
