mk-logo
Berita
‘Rakyat mengeluh’: Azalina bawa PM jenguk Batu Puteh dari udara
Diterbitkan:  Apr 6, 2026 12:56 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said membawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjenguk Pulau Batu Puteh yang terlepas kepada Singapura.

Dia yang juga anggota parlimen Pengerang berbuat demikian semalam selepas pelancaran kolej vokasional di kawasannya.

“Saya tunjuk (pada) Perdana Menteri Anwar Ibrahim jarak Batu Puteh dan Middle Rocks (Batuan Tengah). 

“Saya maklumkan kepada beliau ramai rakyat di kawasan saya mengeluh kerana dengan mudah semakan semula kedaulatan Batu Puteh ditarik balik dan kekal terlepas kepada kerajaan Singapura.

“Ibarat sangat hampir, namun tetap jauh,” tulisnya di media sosial.

Pada Mei 2018, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengumumkan Malaysia menarik diri secara rasmi permohonan rayuan keputusan melibatkan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Tahun lepas, kerajaan memutuskan  tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Mahathir atas faktor usia yang  lanjut, tetapi tetap berpendirian dia bersalah.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang  dinyahklasifikasi dan dikeluarkan pada Disember 2024 mendedahkan bahawa kerajaan bawah pentadbiran Mahathir secara sepihak menarik balik permohonan  menyemak semula dan mentafsir keputusan ICJ pada 2008 yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura.

Mahathir mendakwa laporan RCI itu  bermotif politik untuk memusnahkan imejnya, kerana hanya dia seorang yang dipertanggungjawabkan sedangkan menurutnya ia keputusan bersama seluruh anggota jemaah menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS