Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gobind Singh sertai upacara pecah tanah kuil Jalan Munshi Abdullah
Diterbitkan:  Apr 10, 2026 11:41 AM
Dikemaskini: 5:32 AM

Menteri Digital Gobind Singh Deo menyertai upacara moolasthanam pooja atau pemasangan batu asas bagi tapak kuil baru Dewi Sri Pathra Kaliamman di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur semalam.

Anggota parlimen Damansara daripada DAP itu berkata, upacara itu menandakan permulaan baru bagi kewujudan rumah ibadat yang bakal menjadi penggerak penting kepada komuniti India setempat.

“Upacara yang mulia dan cukup bermakna ini menandakan permulaan baru untuk kewujudan sebuah kuil yang bukan sahaja akan bertindak sebagai rumah ibadat, bahkan juga penggerak komuniti India setempat untuk masa-masa mendatang.

"Semoga segala gerak kerja pembinaan kuil ini akan berjalan dengan lancar, dan saya akan terus komited untuk memberikan sokongan bagi menjayakan usaha murni ini," katanya menerusi hantaran di media sosial malam tadi.

Upacara moolasthanam pooja merupakan acara tradisi dalam pembinaan kuil Hindu yang melambangkan penyucian dan penetapan tapak suci sebelum struktur utama dibina.

Kontroversi dengan Jakel

Terdahulu, kuil itu terlibat dalam kontroversi selepas diarah berpindah oleh pemilik tanah, iaitu syarikat tekstil Jakel.

Sementara itu, mengulas perkembangan semasa, setiausaha kuil, Kaarthik Gunaseelan ketika dihubungi Malaysiakini berkata, urusan berkaitan status tapak baru berjalan lancar.

Namun, katanya, beberapa perkara termasuk pelan pembinaan masih dalam proses diperincikan.

“Pembinaan kuil ini akan melibatkan struktur asas dan kerja seni bina yang mengambil masa,” katanya.

Katanya, kerja pembinaan akan dimulakan secara berperingkat selepas upacara peletakan batu asas, dengan kuil itu dirancang sebagai bangunan dua tingkat, katanya.

Kaarthik menambah, pihak kuil juga akan terus berhati-hati dalam setiap langkah bagi mengelakkan sebarang isu pada masa hadapan.

“Kami akan terus berkhidmat kepada komuniti dan memperkukuh aktiviti keagamaan serta kebudayaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS