Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penulis Malaysia tersenarai pendek Hadiah Cerpen Komanwel 2026
Diterbitkan:  Apr 14, 2026 9:00 AM
Dikemaskini: 1:00 AM

Seorang penulis Malaysia mencipta pencapaian membanggakan apabila disenarai pendek dalam Hadiah Cerpen Komanwel 2026, anugerah sastera yang berprestij di peringkat antarabangsa.

Mohamed Nasser Mohamed muncul sebagai satu-satunya wakil Malaysia dalam kalangan 25 penulis dari 14 negara Komanwel yang berjaya mara ke peringkat akhir.

Dia merupakan antara tujuh wakil dari rantau Asia yang terpilih daripada hampir 8,000 penyertaan bagi edisi tahun ini.

Lebih membanggakan, Nasser merupakan salah seorang daripada dua penulis dari Asia yang mengemukakan karya dalam bahasa kebangsaan masing-masing, berbanding majoriti penyertaan lain yang menggunakan bahasa Inggeris.

Karyanya, The Missing Half (Separuh Yang Hilang) asalnya ditulis dan dihantar dalam bahasa Melayu sebelum diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Pauline Fan. 

Cerpen tersebut mengisahkan tentang seorang bapa di sebuah kampung yang dilanda banjir, cuba untuk membina semula kehidupan keluarganya. 

Karya itu mendapat pujian panel juri kerana kekuatan watak serta kesan emosinya yang mendalam dan membekas di ingatan.

Senarai pendek tahun ini mempamerkan kepelbagaian demografi dengan penglibatan 14 penulis wanita dan 11 lelaki yang berusia antara 25 hingga 68 tahun. Selain Malaysia, rantau Asia turut diwakili oleh penulis dari India, Bangladesh, dan Singapura.

Karya-karya yang terpilih kali ini merangkumi pelbagai tema termasuk kehilangan orang tersayang, cinta terlarang, serta isu bencana alam.

Hadiah Cerpen Komanwel dikendalikan oleh Commonwealth Foundation dan terbuka kepada cerpen yang belum diterbitkan. Pemenang peringkat serantau akan menerima £2,500 (sekitar RM14,800), manakala pemenang keseluruhan bakal membawa pulang £5,000 (RM29,600).

Semua cerpen yang menang dijadualkan untuk diterbitkan secara dalam talian oleh majalah sastera Granta serta dalam koleksi cetak khas oleh Paper + Ink.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS