Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng gesa Umno henti jadi 'gunting dalam lipatan' di NS
Diterbitkan:  May 7, 2026 11:17 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Penasihat DAP, Lim Guan Eng, menggesa Umno agar kembali ke pangkal jalan dengan menyokong Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan kerajaan Perpaduan, berbanding bertindak secara solo untuk menentang calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Lim menegaskan pendiriannya bahawa Umno tidak seharusnya menjadi "gunting dalam lipatan" dan menuntut parti itu menghentikan serta-merta sebarang usaha menggulingkan kepimpinan sedia ada di Negeri Sembilan.

"Saya tetap berpegang dengan pendirian bahawa Umno tidak harus menjadi gunting dalam lipatan, seharusnya balik ke pangkal jalan dengan menyokong Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan perpaduan dengan bertanding bersama dengan PH bukannya bergerak solo menentang calon PH dalam pilihan raya umum ke-16," katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Lim turut membidas Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail, dengan mendakwa Umno sendiri yang mencetuskan masalah melalui komplot merampas kuasa di Negeri Sembilan dengan sokongan parti pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

"Jangan-jangan Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail lupa bahawa yang mencetuskan masalah besar kali ini bukanlah saya atau parti DAP, bahkan adalah Umno sendiri dengan komplot 'merampas kuasa' kerajaan Negeri Sembilan dengan sokongan parti pembangkang PN dan keputusan bergerak solo menentang calon PH dalam PRU yang akan datang.

“Jangan pura-pura jadi mangsa keadaan bila Umno ialah punca kemelut ini," tegasnya.

Semalam, Wan Rosdy melalui satu kenyataan membidas ahli Parlimen Bagan itu berhubung tindakannya yang melabelkan Umno dan BN sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan Perpaduan.

Menurut menteri besar Pahang itu, kenyataan Lim tidak membantu dan boleh mengeruhkan keadaan ketika pimpinan BN serta PH sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap isu berbangkit.

"Saya ingin mengingatkan Lim Guan Eng agar tidak menjadi batu api yang mampu mencetuskan masalah lebih besar.

“Jika beliau mempunyai pandangan negatif terhadap Umno dan BN, beliau juga perlu memahami bahawa ramai dalam Umno BN mempunyai pandangan yang sama terhadap beliau," katanya.

Mengulas lanjut, Lim, menjelaskan usaha menggulingkan menteri besar dengan melibatkan tindakan 14 Adun Umno Negeri Sembilan yang didakwa menarik sokongan, perlu dihentikan segera demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik negara.

Dia juga memberi peringatan bahawa kegagalan menyokong pimpinan menteri besar akan menjejaskan kerajaan Perpaduan secara keseluruhannya.

"Ini bermakna sekiranya 14 Adun Umno Negeri Sembilan dengan sokongan Adun PN, berjaya memaksa menteri besar Negeri Sembilan meletakkan jawatan, maka kerajaan negeri akan tumbang dan jatuh dengan sendirinya di bawah Perlembagaan Negeri dan Persekutuan.

“Sudah tiba masanya Umno bersikap setiakawan kepada kerajaan perpaduan ini dan bukan main tikam belakang!" katanya.

Dua hari lalu, Lim yang juga adalah bekas setiausaha agung DAP, menerusi satu kenyataan, menggesa rakyat untuk menolak Umno dan BN yang disifatkannya sebagai rakan kerjasama yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan perpaduan.

Lim merujuk kepada percubaan Umno Negeri Sembilan baru-baru ini untuk menggulingkan Aminuddin, yang menurutnya membuktikan parti dan gabungan tersebut sanggup mengketepikan kepentingan nasional demi manfaat politik peribadi.

Selain itu, kata Lim, adalah kenyataan yang sering disebut bahawa BN dan Umno akan bergerak secara bersendirian atau solo pada pilihan raya umum akan datang dan akan menentang PH walaupun mereka bekerjasama dan memegang jawatan kabinet utama dalam kerajaan perpaduan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS