Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah ganti Kak Wan di parlimen Bandar Tun Razak?

Desas-desus mengenai kepulangan semula Nurul Izzah Anwar ke kancah Parlimen di Wilayah Persekutuan semakin bertiup kencang, dengan tumpuan kini terarah sepenuhnya kepada kerusi Bandar Tun Razak.

Sekurang-kurang tiga sumber PKR masing-masing dari cabang Bandar Tun Razak, majlis pimpinan negeri Wilayah Persekutuan dan ibu pejabat parti itu memberitahu bahawa tidak mustahil Puteri Reformasi kembali ke ibu kota pada PRU16 nanti.

Langkah itu dilihat sebagai strategi serampang dua mata menyelamatkan kerjaya politik timbalan presiden parti itu daripada risiko di Permatang Pauh, serta memastikan kelangsungan legasi keluarga Anwar Ibrahim di kerusi yang kini disandang ibunya, Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah pada penamaan calon Bandar Tun Razak pada 2022

Sumber PKR pusat berkata Wan Azizah berkemungkinan besar tidak akan mempertahankan kerusi tersebut bagi memberi laluan penuh kepada anaknya.

"Kak Wan sudah memberi bayangan jelas bahawa ini adalah penggal terakhirnya. Dia mahu berehat dan melihat Izzah kembali ke parlimen melalui laluan yang lebih stabil."

"Keputusan ini bukan sekadar soal keluarga, tetapi soal strategi survival parti. Kita tidak boleh biarkan Izzah 'terkandas' lagi dalam gelombang konservatif di (negeri-negeri) utara.

"Bandar Tun Razak adalah hadiah terbaik daripada seorang ibu untuk memastikan kesinambungan perjuangan reformasi di ibu kota," katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah pernah menjadi wakil rakyat selama dua penggal di Kuala Lumpur melalui kerusi Lembah Pantai.

Lokasi paling lojik

Sumber daripada Wilayah Persekutuan pula menegaskan bahawa sejarah PKR di Bandar Tun Razak menjadikan kawasan itu sebagai lokasi paling lojik untuk penempatan semula Nurul Izzah.

"Bandar Tun Razak ada nilai sentimental dan sejarah yang kuat bagi PKR. Sejak zaman allahyarham Khalid Ibrahim lagi, kerusi ini adalah simbol kekuatan PKR di Wilayah.

"Rekod kemenangan kita di sini konsisten. Dengan pengaruh ketua cabang Azman Abidin yang merupakan 'orang kuat' presiden, laluan Izzah di sini dijangka paling kurang rintangan berbanding kawasan lain."

"Kita perlukan seorang tokoh nasional di sini untuk mengekalkan momentum kemenangan, dan siapa lagi yang lebih layak kalau bukan Izzah untuk menyambung tugas ibunya?" kata sumber itu.

Alu-alukan, tapi enggan sahkan

Ketika dihubungi, Azman mengalu-alukan sekiranya Nuzul Izzah berhasrat bertanding di Bandar Tun Razak.

"Insya-Allah. Sudah semestinya. Bandar Tun Razak mengalu alukan Izzah jika beliau berminat bertanding di sini," katanya secara ringkas.

Dia bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan perpindahan itu.

Azman Abidin

Bandar Tun Razak merupakan kubu kuat PKR sejak parti itu menang kerusi tersebut sejak PRU12 pada 2008.

Parlimen dengan lebih 120,000 pengundi itu dimenangi oleh Kak Wan pada PRU yang lalu dalam pertembungan tiga penjuru dengan majoriti 9,817 undi.

Nurul Izzah pula gagal mempertahankan kerusi Permatang Pauh pada 2022 selepas kalah kepada calon PN Muhammad Fawwaz Md Jan dengan majoriti tipis 5,272 undi. Kerusi itu milik keluarga Anwar sejak tahun 1982.

Sementara itu sumber di peringkat Cabang Bandar Tun Razak berkata cabangnya melihat pertukaran antara ibu dan anak ini sebagai satu transisi yang dialu-alukan tanpa banyak soal.

"Akar umbi sudah sedia maklum. Kami melihat Izzah sebagai penukaran yang paling semula jadi. Dia bukan orang asing, malah sering turun membantu program Kak Wan di sini.

"Sejarah PKR di sini dibina atas kesetiaan kepada reformasi. Jadi apabila dimaklumkan Kak Wan beri laluan kepada anaknya, jentera di bawah tidak ada masalah untuk bekerja keras,”katanya lagi.

Setakat ini, usaha Malaysiakini untuk mendapatkan komen daripada Nurul Izzah masih tidak membuahkan hasil apabila mesej yang dihantar tidak berbalas.

Malaysiakini turut telah menghubungi pengarah bersama pilihan raya PKR Saifuddin Nasution untuk komen.

Khabar angin Batu masih bersifat ‘setempat’

Mengenai khabar angin di Parlimen Batu, sumber tersebut menjelaskan bahawa usul untuk meletakkan Nurul Izzah di sana masih bersifat ‘setempat’.

"Usul di Cabang Batu itu baru di peringkat 'test market' oleh penyokong di sana. Ia belum diangkat ke peringkat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah secara rasmi. Fokus utama pimpinan ketika ini tetap pada Bandar Tun Razak," kata sumber itu.

Sebelum ini, PKR cabang Batu sebulat suara mengusulkan Nurul Izzah, sebagai calon bagi kerusi Parlimen Batu pada PRU16, sekiranya ketua cabang tidak dipilih bertanding.

Ketua Cabang PKR Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata usul tersebut dibawa oleh ahli cabang dan diluluskan tanpa bantahan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Batu yang diadakan pada 19 April.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS