Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Zawawi beri keterangan, harap kontroversi insafkan semua
Diterbitkan:  May 15, 2026 2:04 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang terpalit kontroversi ceramahnya yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW berkata insiden membabitkan dirinya itu wajar menjadi keinsafan dan pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam merujuk fakta ilmiah serta pandangan dalam kitab.

“Mudah-mudahan perkembangan ilmiah yang seumpama ini memberi keinsafan kepada kita semua. 

“Khususnya kepada saya sendiri supaya kita lebih berwaspada dengan fakta-fakta ilmiah yang ada di dalam kitab dan supaya kita mengambil pendapat yang paling kuat di dalam kitab.

“Jadi kalau kita ambil yang lemah, memang dia menimbulkan masalah. Tapi kalau kita ambil pendapat yang paling kuat, insya-Allah kita akan selamat dan ia menjadi pengajaran kepada saya dan kepada kita semua dalam perkara-perkara yang seumpama ini, insya-Allah,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman sosialnya, hari ini.

Dia berkata demikian selepas hadir memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan beberapa laporan polis yang dibuat berhubung ucapan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Nik Muhammad Zawawi berkata dia hadir memberi kerjasama penuh kepada polis dan merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa atas layanan baik sepanjang proses tersebut.

“Alhamdulillah, hari ini saya datang memberi kerjasama kepada pihak PDRM untuk buat laporan kerana ada beberapa repot berkenaan ceramah ataupun ucapan saya tempoh hari,” katanya.

Dia juga turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan isu berkenaan serta berharap segala yang berlaku dapat menjadi pengajaran dan mematangkan perjuangan semua pihak.

“Mudah-mudahan semua yang berlaku ini akan memantapkan lagi perjuangan kita dan kita ambil pengajaran-pengajaran yang ada di dalamnya,” katanya.

Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi tampil memohon maaf susulan kontroversi itu.

"Merujuk kepada kontroversi berkaitan pengucapan saya baru-baru ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada saya.

"Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya dalam kenyataan media yang dikongsi di Facebook Dewan Ulama PAS.

Video petikan ucapan Nik Mohammad Zawawi itu yang dikatakan menyentuh mengenai kehidupan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam dalam ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu, tular di media sosial sejak hujung minggu lalu.

Dalam ucapan berkenaan, Abu Bakar digambarkan sebagai “bapa ceti” kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin manakala Umar pula didakwanya berperangai ganas dan suka berzina.

Nik Muhammad Zawawi pada mulanya mempertahankan ucapannya dan menegaskan dia tidak menghina para sahabat Nabi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS