Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Titah diraja bukan campur tangan, tapi nasihat

Patik menjunjung kasih DYMM Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah atas perkenan menghadap semalam.

Patik selaku rakyat negeri Selangor yang setia menjunjung kasih atas titah DYMM Tuanku Sultan Selangor mengenai pentingnya rakyat terus kekal bersatu padu demi kestabilan, keharmonian dan masa depan negeri serta negara.

Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor perlu difahami dalam kerangka sebenar sistem raja berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negara ini sejak sekian lama.

Seperti yang telah diperjelaskan oleh Dewan Diraja Selangor sebelum ini, titah Tuanku Sultan bukanlah suatu campur tangan politik, sebaliknya merupakan nasihat, teguran dan pandangan seorang raja yang lahir daripada tanggungjawab untuk memastikan kestabilan negeri, keharmonian masyarakat serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

Dalam tradisi raja berperlembagaan yang diamalkan negara kita, “titah” adalah peringatan yang lahir daripada kebijaksanaan institusi raja, dizahirkan demi kebaikan negeri dan rakyat keseluruhannya. Ia bukanlah satu "decree" atau perintah seperti yang disalah tafsir oleh segelintir pemimpin politik.

Oleh itu, titah Tuanku Selangor harus dilihat dalam semangat yang lebih luas iaitu memperkukuhkan perpaduan dan menyatukan masyarakat majmuk Malaysia dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu.

Apa yang dizahirkan Tuanku bukan sekadar mengenai perpaduan orang Melayu semata-mata, tetapi bagaimana kekuatan Melayu dan Islam itu sendiri perlu menjadi tiang seri kepada kestabilan negara yang turut melindungi kepentingan semua kaum dan agama.

Sejarah tamadun Islam sendiri membuktikan bahawa kegemilangan sesuatu peradaban tidak dibina atas perpecahan atau kebencian, tetapi melalui kekuatan ilmu, keadilan, kestabilan dan kemampuan untuk merangkul kepelbagaian ragam.

Kita juga harus memahami dan menginsafi hakikat bahawa dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum tidak boleh dilakukan dengan meminggirkan kaum yang lain.

Kekuatan sebenar sebuah negara bukan terletak pada siapa yang paling lantang, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling hormat-menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

Iktibar daripada tamadun Uthmaniyah

Seperti titah Tuanku Sultan, kita harus mengambil iktibar daripada kegemilangan tamadun Islam Uthmaniyah, yang kekuatan mereka lahir daripada kemampuan membina sebuah tamadun yang inklusif, stabil dan membuka ruang kepada masyarakat berbilang latar belakang untuk hidup serta menyumbang ke arah kejayaan dan kemakmuran bersama.

Justeru, titah Tuanku Selangor harus dilihat sebagai seruan untuk merapatkan saf rakyat, memperkukuhkan keharmonian dan menjauhkan negeri serta negara daripada budaya politik yang memecahbelahkan masyarakat demi menjayakan agenda sempit.

Janganlah ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini sehingga mengeruhkan hubungan antara pemimpin serta menjejaskan keharmonian rakyat di negeri Selangor.

Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu hari ini dengan cabaran krisis tenaga dan bekalan global, Malaysia memerlukan politik yang matang, membina keyakinan rakyat dan menjamin kestabilan.

Tumpuan berterusan harus diberikan kepada usaha memperkukuhkan institusi, mempererat perpaduan dan membina jambatan persefahaman antara kaum, bukannya meniup api perpecahan yang akhirnya membinasakan dan memporak-perandakan negara dan bangsa kita sendiri.

Marilah kita terus berpegang teguh dan mengabdikan lima prinsip Rukun Negara, sebagai panduan hidup masyarakat yang aman, harmoni dan berjaya.


TENGKU ZAFRUL AZIZ adalah penasihat kanan politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tulisan ini dimuat naik kali pertama di media sosialnya hari ini dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS