Polis telah selesai merakam keterangan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang ditemukan selamat pada Sabtu lepas, setelah 14 hari dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih, dekat Tapah.
Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Abdul Malik Hasim berkata rakaman percakapan itu dibuat di Hospital Tapah semalam bagi membantu siasatan berhubung kehilangannya sebelum ini.
“Kami juga telah merekodkan keterangan penduduk Orang Asli yang menemui mangsa dalam kejadian itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Abdul Malik bagaimanapun berkata buat masa ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada ahli keluarga selepas penemuan mangsa di Kampung Lubuk Gaharu, Tapah.
Jaslinda kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Tapah akibat kecederaan pada buku lali kiri serta beberapa kecederaan lain.
Sabtu lepas, Jaslinda ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira 5 petang oleh beberapa penduduk Orang Asli.
Wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh bersama-sama 13 individu dan dua Malim Gunung Perhutanan.
- Bernama
