Ketika PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu serta kedudukan Perikatan Nasional (PN) yang masih tidak jelas, Gerakan pula memilih untuk menunggu penjelasan rasmi lebih lanjut daripada rakan gabungan terbabit.
Presidennya Dominic Lau berkata bagaimanapun pihaknya menghormati peranan dan sumbangan PAS dan Bersatu dalam gabungan PN.
"Gerakan mengambil maklum perkembangan terkini yang melibatkan PAS dan Bersatu. Kami menghormati peranan dan sumbangan kedua-dua PAS dan Bersatu dalam PN.
"Pada tahap ini, Gerakan akan menunggu penjelasan rasmi lanjut daripada pihak-pihak berkaitan sebelum membuat sebarang komen lanjut mengenai perkembangan terkini," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Dia yang juga timbalan pengerusi PN berkata demikian ketika ditanya pendirian Gerakan susulan pengumuman PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mesyuarat khas parti itu semalam.
Terdahulu Bersatu pula menyambut sikap tegas PAS memutuskan kerjasama itu dengan menegaskan komitmen mereka untuk kekal berada di bawah payung PN.
Mengakui “dukacita” dengan keputusan diambil PAS, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata sebelum ini kedua-dua parti menjalin kerjasama dengan luhur namun berubah akhirnya.
Dia juga menegaskan bahawa keputusan tersebut diambil oleh PAS sendiri.
Bagaimanapun pendirian Bersatu itu mungkin menimbulkan pertikaian atau kemelut baru dalam PN. Walaupun didaftarkan oleh Muhyiddin, pentadbiran PN kini boleh dianggap berada di tangan PAS kerana kebanyakan jawatan utamanya dikuasai pemimpin parti tersebut.
Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, misalnya kini menjadi pengerusi PN, manakala setiausaha agung dipegang oleh Takiyuddin Hassan.
Untuk menerima kemasukan parti baru atau melakukan penyingkiran, keputusan bersama mesti diperolehi sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Fokus pada tugas lebih besar
Sementara itu Lau berkata, berdasarkan perkembangan semasa, kini masanya untuk semua parti dalam PN kekal fokus kepada tugas yang lebih besar di hadapan.
"Dengan PRN Johor dan Negeri Sembilan yang semakin hampir, serta landskap politik negara yang terus berkembang menjelang pilihan raya umum akan datang, inilah masanya untuk semua parti dalam PN kekal fokus kepada tugas yang lebih besar di hadapan.
"Gerakan akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam memperkukuh PN sebagai sebuah gabungan yang boleh diterima rakyat daripada semua kaum dan agama, sambil menegakkan kestabilan politik, kepimpinan berprinsip, dan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya," katanya lagi.
