ULASAN | Rumah Bangsa: Dari mana hendak ke mana?
Politik Melayu mempunyai satu kebiasaan yang menarik. Apabila berpecah, kita bercakap tentang penyatuan. Apabila kalah, kita bercakap tentang perpaduan.
Apabila kuasa semakin menjauh daripada genggaman, kita mula mencari jalan pulang ke rumah. Mungkin sebab itulah apabila Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memperkenalkan gagasan Rumah Bangsa, ramai yang tertarik untuk mendengar.
Ada yang melihatnya sebagai usaha murni menyatukan orang Melayu yang semakin berpecah. Ada yang menganggapnya sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan semula Umno.
Dan ada juga yang tersenyum sinis sambil bertanya, “Rumah siapa sebenarnya ini?”
Politik memang begitu. Kadangkala sebuah rumah bukan sekadar rumah. Ia boleh menjadi tempat berlindung. Ia boleh menjadi tempat perdamaian.
Tetapi ia juga boleh menjadi tempat pertembungan kepentingan yang paling sengit. Sebab itu Rumah Bangsa bukan sekadar slogan.
Ia adalah sebuah idea politik yang perlu dibaca bukan sahaja melalui apa yang disebut oleh pencetusnya, tetapi juga melalui sejarah yang melahirkannya. Lalu timbul persoalan yang lebih besar.
Rumah Bangsa ini sebenarnya dari mana hendak ke mana?
Kalau hendak berlaku jujur, gagasan ini muncul ketika politik Melayu sedang mengalami krisis identiti yang panjang.
Buat pertama kali sejak merdeka, Umno tidak lagi menjadi satu-satunya pusat graviti politik Melayu. Pas mempunyai pengaruhnya sendiri. Bersatu pula muncul sebagai alternatif yang lahir daripada batang tubuh Umno sendiri dan mencabar status monopoli parti Melayu itu.
Akibatnya, orang Melayu kini berpecah kepada beberapa kelompok politik yang saling bersaing. Masing-masing mendakwa merekalah pewaris sebenar perjuangan Melayu.
Dalam keadaan seperti itu, idea membina sebuah “rumah besar” untuk menghimpunkan kembali orang Melayu sememangnya kedengaran menarik.
Tetapi sejarah politik Melayu mengajar kita bahawa penyatuan adalah perkara yang paling mudah disebut dan paling sukar dilaksanakan. Kita pernah melihatnya berlaku dalam pelbagai bentuk.
Satukan parti lebih mudah dari satukan kepentingan
Apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Semangat 46 pada penghujung 1980-an, ramai beranggapan perpecahan Umno ketika itu akan mengubah politik Melayu selama-lamanya.
Namun akhirnya Semangat 46 dibubarkan. Ramai pemimpinnya kembali ke Umno. Ada yang berjaya dalam politik, ada juga diterajang entah ke mana menghilang. Dan terkini ada yang menjadi pakar adat dalam menentukan jatuh bangun dan daulat seorang Raja.
Kemudian muncul pula Muafakat Nasional. Pada waktu itu ramai percaya formula Umno-Pas adalah jawapan kepada perpecahan Melayu. Dewan penuh. Penyokong bersorak. Penganalisis politik membuat pelbagai ramalan.
Tetapi akhirnya Muafakat Nasional menjadi satu lagi projek yang gagal mencapai potensi sebenar.
Mengapa?
Kerana menyatukan parti lebih mudah daripada menyatukan kepentingan. Dalam politik, musuh yang sama boleh menyatukan dua pihak. Tetapi apabila kemenangan mula kelihatan di depan mata, persoalan yang lebih rumit akan muncul.
Siapa memimpin? Siapa menentukan hala tuju? Siapa mendapat bahagian yang lebih besar? Di situlah biasanya bermula perpecahan.
Kemudian datang pula Bersatu. Kewujudan Bersatu membawa satu mesej yang sangat jelas. Bahawa Umno tidak lagi mempunyai monopoli terhadap imaginasi politik Melayu.
Melayu kini mempunyai pilihan. Dan apabila pilihan semakin banyak, kesetiaan menjadi semakin mahal. Sebenarnya persoalan masa depan Melayu bukan perkara baharu.
Lebih lima dekad lalu, Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya The Malay Dilemma mengangkat persoalan tentang kedudukan orang Melayu dalam ekonomi, pendidikan dan persaingan moden.
Buku itu terus menjadi bahan perdebatan sehingga hari ini, ini menunjukkan satu perkara. Bahawa kegelisahan tentang masa depan Melayu sentiasa wujud dalam setiap generasi.
Bagaimana hendak mempertahankan identiti tanpa menolak perubahan? Bagaimana hendak membina kekuatan tanpa terperangkap dalam ketakutan?
Dan bagaimana hendak bersaing dalam dunia yang semakin terbuka tanpa kehilangan akar sejarah sendiri?
Bunuh Bersatu, PAS mengemis?
Lima puluh tahun berlalu, Persoalan itu masih belum benar-benar selesai. Mungkin sebab itulah Rumah Bangsa muncul.
Namun persoalan yang lebih menarik ialah adakah Rumah Bangsa sebenarnya strategi Ahmad Zahid Hamidi untuk memusnahkan Bersatu secara perlahan-lahan?
Soalan ini mungkin kedengaran sinis.Tetapi politik menuntut kita membaca apa yang tersirat. Cuba lihat siapa yang paling rugi sekiranya Rumah Bangsa berjaya.
PAS? Barangkali tidak. PAS mempunyai identiti yang dibina atas perjuangan Islam sejak puluhan tahun. PAS pernah menjadi pembangkang. PAS pernah menjadi kerajaan.
PAS pernah bersendirian dan PAS juga pernah bersama pelbagai gabungan. Kekuatan PAS tidak bergantung sepenuhnya kepada Umno.
Itu sejarahnya, tetapi apabila melihat situasi terkini, PAS seolah-olah terpukau juga dengan idea Rumah Bangsa. Bersilat dalam hubungan dengan Bersatu juga menjadi signal bahawa roh yang ditiupkan dalam Rumah Bangsa seakan-akan meresap dalam batang tubuh parti Islam itu.
Namun ketika artikel ini sedang dikarang, PAS membuktikan dakapan setia kawan dalam politik boleh terlerai mengikut selera pucuk pimpinan mereka.
PAS mengambil keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, satu perkembangan yang mengejutkan landskap pembangkang walaupun hubungan kedua-duanya sudah lama dilihat retak.
Nah! Pada masa yang sama, PAS menyatakan kesediaan untuk meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah.
Adakah rumah bangsa merangsang segala tindakan ini?
Realitinya, itulah PAS bersandarkan kepada hujah agama, mereka memukau khalayak politik mereka. Tarawih menunjukan mereka tidak pernah kekal dalam mana-mana kerjasama politik dan ‘mengkhianati’ sahabat dalam negosiasi politik. Contohnya pengagihan kerusi di Kota Damansara, Selangor dan Sungai Acheh di Pulau Pinang.
Tetapi bagaimana pula Bersatu? Lalu timbul persoalan. Siapa yang sebenarnya untung? Siapa yang rugi?
Jika dilihat secara kasar, sudah tentu Bersatu berada dalam kedudukan paling sukar.
Selama ini kekuatan Bersatu banyak bergantung kepada kerjasama strategiknya dengan PAS, khususnya dalam menggabungkan sokongan Melayu-Islam di banyak kawasan pilihan raya.
Malah sebelum ini, kepimpinan Bersatu sendiri pernah menyifatkan gabungan Bersatu-PAS sebagai formula kejayaan meraih majoriti besar undi Melayu dalam beberapa pilihan raya.
Apabila hubungan itu retak, persoalan besar ialah sama ada Bersatu masih mampu berdiri dengan kekuatan yang sama. Tentunya politik tidak pernah semudah itu. Ada yang melihat perkembangan ini sebagai peluang kepada Zahid Hamidi.
Jika Bersatu semakin lemah, maka Rumah Bangsa boleh menjadi jambatan untuk membawa pulang tokoh-tokoh dan penyokong yang suatu ketika dahulu meninggalkan Umno.
Namun di sinilah letaknya paradoks yang menarik.
Rumah Bangsa yang dibina Zahid juga dikelilingi oleh kelompok yang sejak sekian lama mengimpikan kerjasama Umno-PAS.
Ramai dalam Umno masih melihat Muafakat Nasional sebagai formula yang belum benar-benar mati. Mereka tidak melihat PAS sebagai musuh utama, sebaliknya sebagai rakan yang pernah berkongsi cita-cita politik Melayu. Walaupun Zahid dalam beberapa kenyataan bermetafora tiada lagi Muafakat Nasional dalam kamus Umno.
Maka persoalannya menjadi lebih rumit.
Adakah Zahid mampu "menelan" kumpulan ini dan menyatukan semua pandangan di bawah gagasan Rumah Bangsa?
Atau beliau sendiri akan “meneran” kesakitan politik apabila perlu mengimbangi kehendak pelbagai kelompok yang mempunyai impian berbeza?
Kerana sebuah rumah yang besar bukan sekadar memerlukan pintu yang luas. Ia memerlukan penghuni yang bersedia hidup di bawah satu bumbung.
Jika setiap bilik mempunyai ketua sendiri, jika setiap ruang tamu mempunyai cita-cita sendiri, maka rumah itu mungkin kelihatan gah dari luar tetapi bergolak di dalam.
Di sinilah saya melihat cabaran sebenar Zahid. Cabarannya bukan untuk menewaskan PAS. Bukan juga untuk melemahkan Bersatu. Sebaliknya cabarannya ialah menguruskan mereka yang mungkin kembali.
Sejarah politik Melayu menunjukkan bahawa musuh yang datang dari luar boleh dihadapi dengan mudah. Tetapi musuh yang lahir dari dalam rumah sendiri sering kali lebih sukar ditangani.
Politik tidak bergerak atas dasar nostalgia. Politik bergerak atas dasar kepentingan. Hari ini mereka pulang kerana mahu bersatu. Esok mungkin mereka bertanding kerana mahu memimpin. Begitulah politik.
Kuasa peti undi?
Peti undi, di sinilah perlu diakui akhirnya semua teori akan diuji di tempat yang paling jujur dalam politik. Atas sebab itu, Pilihan Raya Negeri Johor akan menjadi makmal sebenar kepada Rumah Bangsa.
Johor mempunyai nilai simbolik yang besar. Ia negeri kelahiran Umno. Jika Rumah Bangsa benar-benar mempunyai daya tarikan, kesannya akan kelihatan di Johor terlebih dahulu.
Jika pola undi Melayu berubah, Rumah Bangsa akan dilihat sebagai gagasan yang berjaya. Jika tidak, ia akan berdepan persoalan yang lebih sukar.
Adakah ia sekadar slogan? Atau benar-benar sebuah gerakan yang mempunyai nyawa?
Dalam salah satu tulisan Chandra Muzaffar mengenai politik identiti, beliau mengingatkan bahawa bangsa boleh menjadi sumber kekuatan tetapi bangsa juga boleh menjadi perangkap jika ia dijadikan matlamat akhir.
Sebuah masyarakat tidak menjadi kuat semata-mata kerana mereka berkongsi keturunan yang sama. Mereka menjadi kuat kerana berkongsi cita-cita yang sama.
Sebab itu persoalan terbesar yang perlu dijawab oleh Rumah Bangsa bukanlah berapa ramai orang Melayu yang dapat dihimpunkan.
Sebaliknya untuk tujuan apa mereka dihimpunkan. Adakah untuk memenangi pilihan raya? Atau untuk membina masa depan yang lebih baik?
Dua perkara itu tidak semestinya sama. Dan mungkin di sinilah cabaran terbesar Rumah Bangsa.
Anak muda Melayu hari ini tidak membesar dalam dunia yang sama seperti generasi terdahulu.
Mereka hidup dalam era kecerdasan buatan. Mereka bersaing dalam ekonomi digital. Mereka berfikir tentang pekerjaan, kos sara hidup dan peluang masa depan.
Bagi mereka, rumah pertama mungkin lebih penting daripada retorik politik. Peluang ekonomi mungkin lebih penting daripada slogan.
Jika Rumah Bangsa hanya bercakap tentang nostalgia, ia akan menjadi muzium. Tetapi jika ia bercakap tentang masa depan, ia mungkin menjadi gerakan.
Sejarah menunjukkan bahawa rumah yang paling sukar dibina bukanlah rumah yang kekurangan tiang. Tetapi rumah yang penghuninya masih belum sepakat tentang arah yang hendak dituju.
Pada akhirnya, semua perbahasan tentang bangsa, kuasa dan penyatuan ini mengingatkan saya kepada ungkapan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Tok Guru pernah mengingatkan bahawa bangsa bukan satu pilihan. Tiada siapa memilih untuk dilahirkan sebagai Melayu. Tiada siapa memilih untuk dilahirkan sebagai Cina. Tiada siapa memilih untuk dilahirkan sebagai India. Ia adalah ketentuan Tuhan.
Kerana itu bangsa tidak boleh menjadi ukuran mutlak kepada kemuliaan manusia.
Lebih mendalam daripada itu ialah peringatan beliau bahawa apabila manusia berhimpun di Padang Mahsyar kelak, mereka tidak akan ditanya bangsa apa yang mereka wakili ketika hidup di dunia.
Mereka tidak akan ditanya parti mana yang mereka sokong. Mereka tidak akan ditanya siapa presiden yang mereka sanjung. Mereka tidak akan ditanya berapa kali mereka menang pilihan raya.
Sebaliknya mereka akan ditanya apakah amanah yang telah mereka tunaikan. Apakah manfaat yang telah mereka tinggalkan. Apakah kebaikan yang telah mereka lakukan.
Sebab itu dalam keghairahan kita membicarakan Rumah Bangsa, jangan sampai kita terlupa bahawa bangsa hanyalah wadah. Ia bukan destinasi terakhir.
Rumah Bangsa boleh menjadi kejayaan besar. Rumah Bangsa juga boleh menjadi eksperimen yang gagal. Ia boleh menjadi jambatan yang menyatukan.
Ia juga boleh menjadi medan perebutan kuasa yang baharu.
Rumah Bangsa ini sebenarnya dari mana hendak ke mana?
Dan seperti kebanyakan projek politik besar dalam sejarah negara, jawapan sebenar hanya akan diberikan oleh masa.
MOHD NAJIB HASHIM bekas ketua pengarang Suara Keadilan dan bekas editor Selangorkini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/f7df9193ee9706462f826bc57f299fea.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/09/6b8cfc6b134cf6905d63c95be06d1dd8.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/04/764b12cc4360d76c7440916255d59684.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/01/3b1b010e84d70a99b4e60365f7f53e29.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/54e9e57194fb4fd4db08d39c44cf04aa.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/866b2649beac2731eb6fff9bb4072d1a.jpg)