Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dataran Merdeka jadi padang sampah lepas final Piala Dunia
Diterbitkan:  Jul 20, 2026 12:21 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Dataran Merdeka di ibu negara dipenuhi sampah-sarap selepas tayangan umum perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina, awal pagi tadi.

Sisa makanan, plastik pembungkus dan plastik lapik duduk memenuhi tapak bersejarah dan tumpuan pelancong itu

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menguruskan kawasan itu menzahirkan rasa sedihnya dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

“Awal pagi tadi, ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak dan berkongsi kegembiraan. 

“Namun apabila sorakan berakhir, padang bersejarah ini ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap,” keluhnya.

Dilaporkan lebih 25,000 peminat bola sepak berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyaksikan siaran langsung melalui skrin gergasi anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang juga antara penyiar rasmi siaran di Malaysia.

Orang ramai pelbagai latar belakang, termasuk pelancong, membanjiri kawasan itu sejak tengah malam walalupun aksi kemuncak bermula jam tiga pagi.

Ia turut disertai Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang memakai jersi Argentina.

Berkongsi perkara itu di media sosial, DBKL berkata mereka akan membersihkannya tetapi mengingatkan bahawa “Dataran Merdeka ialah lambang maruah dan sejarah negara”. 

“Cara kita meninggalkannya mencerminkan cara kita menghargainya.

“Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama.

“Kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang tetapi melalui keadaan yang mereka tinggalkan apabila pulang,” katanya.

Buang sampah dalam tong itu perkara asas - menteri

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh turut menyatakan rasa kecewanya dengan perbuatan itu.

Hannah Yeoh

Katanya, walaupun DBKL ada untuk menjalankan tugasnya, tetapi membuang sampah ke dalam tong merupakan perkara asas yang sepatutnya kita lakukan sendiri.

“Hak untuk menerima perkhidmatan tidak bermaksud semua tanggungjawab boleh diserahkan kepada petugas awam. 

“Mereka tidak sepatutnya terpaksa membersihkan sampah yang sengaja kita tinggalkan,” katanya di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS