Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perikatan Barisan Nasional: Nama pun tak sepakat, sindir PKR

Penolakan BN terhadap idea penjenamaan kerjasama BN-PH sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN) menunjukkan ia tidak dibina atas dasar yang kukuh, kata PKR.

"Sebenarnya penjenamaan politik ad-hoc itu sekadar perkahwinan mutaah (kontrak) politik untuk mengelirukan pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan.

"Belum pun sempat kempen reda atau dakwat di jari pengundi kering, pimpinan utama kedua-dua parti sudah saling menafi dan bertentangan kenyataan secara terbuka di media. 

“Hamzah ghairah menjajakan nama PBN di pentas ceramah, tetapi kepimpinan Umno dengan pantas menolak dan menganggapnya tidak relevan.

"Ini membuktikan PN dan BN sebenarnya tidak pernah mempunyai persefahaman politik yang sebenar, melainkan sekadar percaturan politik tangkap muat demi kepentingan kerusi semata-mata," kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR Selangor Sathia Prakash Nadarajan (atas sekali).

Sebelum ini, Presiden Parti Wawasan Negara Hamzah Zainudin ketika berkempen di Tampin mengusulkan penggunaan nama PBN bagi menggambarkan persefahaman PN-BN serta mengelakkan kekeliruan pengundi.

Hamzah Zainudin

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat reaksi dingin daripada pimpinan Umno dengan naib presidennya Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan istilah itu tidak relevan kerana kerjasama sedia ada hanya terhad kepada persefahaman PRN.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan tiada perbincangan rasmi pernah dibuat berhubung cadangan pembentukan gabungan baru berkenaan.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Sathia berkata percubaan menjual jenama PBN ini menyerlahkan sikap acuh tak acuh PN terhadap ketelusan dan kejujuran dalam berpolitik.

"Bagaimana rakyat mahu meletakkan kepercayaan dan kebergantungan kepada sebuah pakatan yang mahu mentadbir negeri, sedangkan hal nama gabungan sendiri pun mereka berbalah dan tidak sepakat?

"Pengundi hari ini bukannya budak-budak yang boleh ditipu dengan permainan perkataan dan gimik penjenamaan setiap kali tibanya musim pilihan raya.

"Rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang fokus kepada kebajikan dan pembangunan ekonomi yang mampan, bukannya drama ketidakstabilan politik yang berulang-ulang.

"PRN Negeri Sembilan ini wajar dijadikan medan untuk rakyat menolak politik gimik dan memilih kepimpinan yang benar-benar konsisten serta berintegriti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS