Umno bebas pilih jalan sendiri, kata Annuar lepas bandingkan kekuatan antara parti
Ketua Penerangan PN dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa, hari ini menyatakan pendirian parti itu bahawa mereka bersikap terbuka dengan sikap ditunjukkan Umno khususnya selepas perhimpunan agung berakhir pada Sabtu lalu.
Kata Annuar PAS - dan PN - juga mengambil pendekatan sederhana selepas mendapat mandat daripada muktamar yang berlangsung seminggu sebelum Umno untuk mengusahakan perpaduan ummah.
Katanya, tujuan mereka ialah untuk membina kekuatan kelompok teras negara ini iaitu orang Melayu Islam bersama pihak yang tidak ekstrem.
Pada masa sama, Annuar juga menegaskan bahawa ketika ini Umno adalah parti kedua terbesar di negara ini selepas PAS.
Bekas menteri dan Setiausaha Agung BN itu turut menjelaskan mengapa Umno berada di belakang PAS dari segi kekuatan parti.
"Terdapat 191 bahagian Umno seluruh negara sementara PAS dengan 199 kawasan adalah (parti) yang terbesar," katanya dalam hantaran di media sosial.
Membandingkan penguasaan kerusi di Dewan Rakyat pula, Annuar berkata, kedudukan Umno ialah yang keempat di belakang PAS, DAP dan PKR
"Sebagai parti besar, Umno bebas memilih jalan sendiri, bergerak solo tanpa perlu bergantung pada pihak lain.
"Itulah antara suara kalangan pemimpin umno di Perhimpunan Agong Umno baru baru ini. Umno adalah 'king maker yang hebat' kata mereka.
"PAS dan PN juga mengambil pendirian terbuka dan sederhana," katanya lagi.
Berpijak di bumi nyata
Kenyataan itu dibuat selepas Umno - pada Sabtu lalu - mencadangkan agar parti itu menguji keikhlasan PAS dalam bekerjasama dengan melalui PRN bersama di mana-mana negeri ditadbir PN.
Untuk rekod ketika ini PN menjadi kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Secara keseluruhan terdapat 128 kerusi DUN di negeri berkenaan - yang juga dikenali sebagai SG4.
Daripada jumlah itu Umno mempunyai hanya dua orang wakil iaitu di Kelantan, manakala 116 lagi dikuasai PAS-PN.
PH pula mempunyai lima wakil iaitu tiga di Kedah, dan satu masing-masing di Perlis dan Kelantan.
Tiga lagi kerusi ketika ini kosong, manakala baki dua kerusi lagi diwakili Adun bebas.
Gesaan agar keikhlasan PAS itu diuji dibuat Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, semasa menggulung perbahasan di hari terakhir PAU.
Bagaimanapun ia menimbulkan rasa kurang senang PAS dengan timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan kesetiaan dan keikhlasan parti itu tidak sepatutnya diuji melalui pilihan raya.
Selagi tidak ada keperluan mendesak, kata Tuan Ibrahim semalam, rakyat tidak perlu dibebankan dengan tekanan politik dan kos bagi menghadapi PRN.
Menurut Annuar, muafakat adalah satu-satunya jalan untuk membina kekuatan seperti yang dimahukan kedua-dua parti, manakala kesombongan, tambahnya, hanya membawa keruntuhan.
"Waktu untuk play to the gallery (cakap berdegar-degar) sudah tamat. Kita berdepan realiti politik dan berpijak di bumi nyata," katanya.
/file/attachments/orphans/AnnuarMusa1_503682.jpg)
