Pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu menyaksikan Pakatan Harapan dan PAS masing-masing menurunkan calon bagi menentang BN. Ini adalah pengalaman pahit bagi pembangkang yang menyaksikan bagaimana pertandingan tiga penjuru memecahkan undi mereka.

Mengambil maklum apa yang berlaku, ada pihak dalam PKR mula melobi supaya rundingan diteruskan dengan PAS walaupun hubungan rasmi antara kedua-dua parti telah ditamatkan.

Satu lagi kumpulan dalam PKR yang menentang rundingan berkenaan berkata, timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Azmin Ali telah cuba hingga minit terakhir untuk meyakinkan PAS supaya mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru pada dalam pilihan raya kecil tersebut.

Menurut mereka, ini sehingga menjejaskan persiapan jentera pilihan raya HARAPAN dan kumpulan itu bimbang bahawa senario sama akan berulang jika ia tidak dihentikan.

Pandangan berbeza itu mula tercetus lebih setahun lalu. Namun ia memuncak pada minggu lalu apabila ahli parlimen PKR, William Leong meletak jawatan dari Biro Politik parti itu sebagai bantahan terhadap rundingan yang berterusan.

Rasa tidak puas hati itu juga menyebabkan perselisihan dalam PKR Kelantan, dengan pemimpin akar umbi berpaling tadah terhadap pemimpin-pemimpin negeri yang dianggap terlalu mesra dengan PAS.

Susulan perkembangan itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mencadangkan perkara itu dibawa untuk undian melalui sebuah Kongres Khas tetapi Timbalan Ketua Pemuda Afif Bahardin menolaknya.

Ketika PKR bertelagah berhubung perkara itu, Malaysiakini membuat tinjauan tentang pendapat orang ramai sama ada parti itu harus bekerjasama terus dengan PAS.