Rekod 100 meter - Badrul Hisyam tak menyerah
Selepas catatan 10.29 saat yang dilakukannya tidak diiktiraf, pelari pecut muda Badrul Hisyam Abd Manap menyasarkan Kejohanan Terbuka Pahang Mac ini sebagai pentas mencipta rekod baru kebangsaan acara 100 meter.
Badrul Hisyam, 19, berkata beliau memilih kejohanan dalam negara berbanding Kejohanan Dunia di AS untuk mencipta rekod kebangsaan baru bagi memupuk keyakinan supaya dapat terus beraksi dengan lebih baik.
"Saya rasa peluang beraksi di kejohanan luar negara banyak dan saya boleh menyertainya selepas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak nanti.
"Buat masa sekarang, saya mahu fokus kepada kejohanan tempatan untuk memecahkan rekod kebangsaan berusia 17 tahun. Saya harap kali ini nasib menyebelahi saya," katanya kepada pemberita selepas menerima penajaan daripada sebuah syarikat peralatan sukan di Kuala Lumpur hari ini.
Pelari pecut dari Melaka itu juga dilantik sebagai duta syarikat itu selama setahun bermula hari ini.
Catatan 10.29 saat yang dilakukan Badrul Hisyam di Sukan Sekolah-sekolah Asean di Brunei November lepas tidak diiktiraf walaupun mengatasi rekod kebangsaan 10.30 saat milik Watson Nyambek yang dilakukan pada 1998, atas kesilapan teknikal .
Ini berikutan penganjur tidak meletakkan alat pengukur angin di kedudukan yang tepat, selain gagal menyediakan bukti photofinish seperti yang termaktub dalam peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).
Terbuka Pahang yang julung kali disertai Badrul Hisyam menjadi kejohanan pembuka tirai untuknya tahun ini dan beliau dijangka menerima cabaran hebat daripada seorang lagi pelari pecut dari Melaka, Khairul Hafiz Jantan.
Sementara itu, jurulatihnya, Mohd Poad Kassim, yang telah melatih Badrul Hisyam sejak berusia 10 tahun, berkata prestasi anak didiknya kini kian meningkat.
"Semasa latihan, Badrul Hisyam mampu buat sehingga 10.01 saat dan catatan masanya sangat konsisten. Jadi untuk pastikan keyakinan dan prestasinya meningkat , saya mahu beliau terus bersaing dalam kejohanan dalam dan luar negara," katanya.
Mohd Poad berkata sebelum beraksi pada Sukma Sarawak pada Julai ini, Badrul Hisyam dijadualkan menyertai Terbuka Australia pada Mac dan Kejohanan Remaja Asia di Vietnam pada Jun.
- Bernama

